Kedai nasi lemak jadi lokasi jual air ketum

Iklan
Polis melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.

BUTTERWORTH - Tindakan licik dua lelaki yang menjual air ketum di sebuah kedai nasi lemak di Flat Bagan Dalam di sini terbongkar selepas ditahan dalam satu serbuan, pada pagi Selasa.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Butterworth kira-kira jam 10.30 pagi itu turut merampas lebih 200 bungkus air ketum yang telah siap untuk dijual kepada pelanggan mereka di premis makanan berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya merampas tong sejuk beku yang digunakan untuk menyimpan bungkusan air ketum serta beberapa peralatan memasak.

Menurutnya, antara dirampas periuk yang masih mengandungi daun-daun kering dipercayai daun ketum, dapur dan tong gas, penapis air dan sudip kayu.

Iklan

"Urus niaga mereka yang berselindung di sebalik kedai nasi lemak gagal mengaburi mata pihak polis tambahan dengan kehadiran pelanggan yang datang dalam keadaan mencurigakan akhirnya membongkar kegiatan sebenar mereka.

"Siasatan mendapati air ketum terbabit dijual dengan harga RM10 sebungkus dan dipasarkan untuk pelanggan sekitar Butterworth," katanya dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Iklan

Noorzainy berkata, dua lelaki berusia 23 dan 44 tahun itu pernah ditangkap sebelum ini atas kesalahan yang sama.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Dalam serbuan berasingan sebelum itu, Noorzainy berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun di sebuah pondok bernombor berhadapan flat sama kerana terlibat dengan penjualan air ketum.

Katanya, lelaki berstatus duda dan mempunyai 14 rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah menjadikan pondok berkenaan sebagai gerai pandu lalu menjual air ketum.

"Lelaki terbabit menyorokkan bungkusan air ketum di dalam tong sampah yang bertutup kononnya dapat melindungi kegiatannya.

"Pemeriksaan lanjut polis menemui 10 bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi cecair Mitragynine di dalam tong sampah berkenaan,"katanya.

Noorzainy berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.