SHAH ALAM - Pas akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan penarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut laporan portal FMT, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertemuan itu diadakan pada kadar segera.
Iklan
Iklan
"Kita akan mengadakan mesyuarat segera," katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.
Pada Selasa, UMNO mengambil pendirian tidak mempertahankan kerajaan PN sekali gus menyaksikan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri didakwa sudah terbatal.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Surat akuan bersumpah ahli Parlimen UMNO yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan sudah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
UMNO juga memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Al-Sultan Abdullah dan tidak akan mempertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal pada mata rakyat.