Jodoh selepas setahun terlantar di hospital

Iklan
Pasangan pengantin merakam gambar bersama rakan, Siti Khadijah Hasan dan pasangannya, Mohd Johari Sa’ed yang juga atlet sukan badminton bagi Para Sukma 2018.
KUALA TERENGGANU – Siapa sangka, ujian ditempuhi lelaki kurang upaya (OKU) yang terlantar selama setahun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat komplikasi kecederaan saraf tunjang menjadi titik tolak kepada pertemuan dengan suri hatinya.

Malah, rupa-rupanya masih ada sinar bahagia untuk Wan Zainuddin Wan Ahmad Muji, 42, selepas kehidupan sebelum ini diduga dengan lumpuh sebahagian badan sejak 2011 dan ditambah pula kegagalan dalam perkahwinan pertama pada 2013.

Jelas terpancar kebahagiaan di wajah Wan Zainuddin ketika diijabkabulkan bersama pasangannya, Maizatul Hakimah Yusof, 24 di sebuah resort di Batu Burok di sini, hari ini.

Ternyata Wan Zainuddin yang juga bapa kepada dua orang anak kelihatan amat bahagia di samping pasangan pilihannya yang akan menemani untuk menempuhi hari-hari mendatang.

Dia berkata, pengorbanan Maizatul atau lebih mesra disapa sebagai Mai sepanjang perkenalan mereka sejak awal 2015 menyebabkan hatinya terpaut dengan gadis itu.

"Ketika saya mengenali Mai, dia masih bergelar pelajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Seingat saya, dia tidak pernah lupa untuk melawat saya walaupun sehari ketika saya terlantar selama setahun di HSNZ.

"Selain ibu bapa saya, Maizatul ialah individu yang sama-sama menjaga saya ketika saya melalui saat-saat paling susah, tidak boleh bangun, tidak boleh duduk, hanya terlantar di katil wad,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinannya.

Menyingkap titik pertemuan antara mereka berdua, Wan Zainuddin yang berasal dari Felda Kerteh 3, Dungun berkata, dia mengenali isterinya itu di dalam wad di HSNZ.

"Kami berkenalan ketika dia melawat keluarga rakannya yang kebetulan bersebelahan katil saya. Kali pertama menyapanya, saya rasa getaran luar biasa. Cara dia menjawab pertanyaan saya pun saya nampak ada keikhlasan di situ.

"Walaupun dengan keadaan saya yang terlantar dan tiada pekerjaan tetapi dia masih sudi berkawan hingga hubungan itu menjadi serius lima bulan kemudian,” katanya.

Wan Zainuddin berkata, dia tidak menafikan perasaan segan dan malu untuk mendampingi Maizatul disebabkan kekurangan diri, namun penerimaan Maizatul menguatkan semangatnya untuk terus pulih dan bangkit daripada kegagalan sebelum ini.

"Rasa rendah diri itu memang sebab saya tidak sempurna macam orang lain, hendak duduk di kerusi roda pun saya boleh jatuh, tetapi dia sentiasa bagi sokongan kepada saya tanpa jemu.

"Dia sentiasa ada di samping saya sehingga saya boleh bangkit meneruskan kehidupan dan membuka perniagaan secara dalam talian dengan menjual produk kesihatan termasuk untuk penghidap kencing manis, bermula pada November 2016,” katanya yang kini memiliki seramai 15 pekerja.

Menurutnya, dia kini mampu memandu kenderaan dan tahap kesihatannya beransur pulih setelah menjalani tujuh hingga lapan pembedahan dan rawatan susulan di hospital.

Sementara itu, Maizatul Hakimah berkata, dia bersyukur kerana suaminya itu kini menunjukkan perubahan yang positif dalam segenap sudut termasuk aspek emosi dan kesihatan.

"Walaupun saya sedar kekurangan fizikal dialaminya, tetapi saya tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan dalam perhubungan.

"Saya begitu gembira kerana dapat melihat perubahan positif yang berlaku padanya secara berperingkat dan berharap kami dapat bersama-sama melayari bahtera rumah tangga yang dibina dan ia berkekalan hingga akhir hayat,” katanya.