KUALA LUMPUR - Rumah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menjadi tumpuan media pada Rabu susulan penarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Seawal jam 7 pagi, kumpulan media mula berkampung di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara.
Setakat jam 9 pagi, tiada kenderaan membawa orang kenamaan atau orang politik masuk ke kediaman beliau.
Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal pada mata rakyat.
Susulan itu, beberapa menteri kabinet dilihat hadir ke kediaman Muhyiddin pada malam Selasa antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Selain itu, turut hadir Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Pertemuan itu berlangsung selama dua jam sebelum kenderaan membawa kenamaan itu meninggalkan lokasi pada jam 12.10 malam.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berkenaan pertemuan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara, pemimpin kanan Bersatu tiba di rumah Muhyiddin