Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) baru-baru ini telah melaksanakan Program Rintis Aplikasi Web ACES (IR 4.0), melibatkan lebih 3,100 pelajar lepasan SPM di bawah program empower ECER di negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Aplikasi Web yang dibangunkan oleh Asia Center of Excellence for Smart Technologies (ACES) di bawah ECERDC itu bertujuan mewujudkan kesedaran tentang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) di kalangan pelajar dan menyediakan bakat di ECER dengan kemahiran serta pengetahuan bagi memenuhi kehendak masa hadapan.
Di Terengganu, kira-kira 740 peserta dan 12 jurulatih di enam daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Besut terlibat dalam program rintis tersebut yang berlangsung selama tiga minggu sehingga 31 Julai lalu.
Menerusi kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), seramai 245 orang peserta dari daerah Besut dan Setiu di Terengganu, telah dipilih menyertai program rintis itu.
Program ini Berjaya memberi pendedahan kepada peserta berkaitan konsep dan komponen utama teknologi dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menjadi aspek penting dalam kehidupan manusia pada masa kini dan akan datang.
"Saya sangat tertarik dengan pengisian program ini terutamanya topik berkaitan Internet Pelbagai Benda atau Internet of Things (IoT). Ternyata elemen IoT ini sangat membantu dalam kehidupan seharian.
"Contohnya ‘smart home’ yang akan memberikan keselesaan, keselamatan dan penjimatan kepada pemilik rumah. Saya akan pastikan ia ada di dalam rumah saya nanti,” ujar Nur Aliya Batrisha Rozi.
Program itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang sempat meninjau secara maya dan berinteraksi dengan peserta terlibat.
Dalam sesi interaksi ringkas itu Ahmad Samsuri turut memberikan katakata semangat kepada peserta di samping merakamkam penghargaan kepada ECERDC dan UMT yang mengambil inisiatif melaksanakan program berkenaan.
Turut sama dalam sesi tinjauan maya itu adalah ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Terengganu serta Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Mazlan Abdul Ghaffar.