PEMAJU hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM684 juta setakat 31 Julai 2021 dan mengunjurkan tempahan berjumlah RM651 juta.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS berada di landasan yang tepat untuk memenuhi sasarannya di mana dengan pelancaran sebanyak 16 projek yang membawa nilai anggaran kasar berjumlah RM2.1 bilion.
"Dari sudut pemasaran, LBS telah mengadaptasi konsep pemasaran digital sejajar dengan keperluan semasa.
"Kami berharap untuk terus konsisten dalam membalas jasa baik para pemegang saham di masa hadapan seiring dengan perkembangan LBS,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, LBS juga mengumumkan sebanyak 12 resolusi yang dikemukakan untuk pertimbangan telah diluluskan oleh pemegang sahamnya menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-21 yang buat pertama kalinya dilakukan secara maya pada Selasa.
Menurut Hock San, para pemegang saham turut meluluskan pembayaran dividen peringkat pertama dan dividen akhir sebanyak 1.45 sen bagi saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
"Dividen berjumlah kira-kira RM22.6 juta akan dibayar pada 22 September 2021 kepada para pemegang saham seperti yang tersenarai di dalam Rekod Pendeposit pada 27 Ogos 2021.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada para pemegang saham di atas kepercayaan dan sokongan mereka selama ini,” katanya.
Hock San berkata, para pemegang saham kekal setia bersama LBS dalam mengharungi masa-masa mencabar yang dialami berikutan penularan pandemik ini.
"Kami tetap fokus untuk memastikan agar LBS memberikan prestasi yang terbaik untuk pertengahan tahun ini,” katanya.