Warga emas maut dalam kebakaran rumah

Iklan
Kediaman dua tingkat yang terbakar mengakibatkan seorang warga emas maut pada pagi Rabu di Kampung Charok Kemuning Dalam Baling. - Foto ihsan bomba

SIK - Seorang warga emas ditemui maut dalam satu kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Charok Kemuning Dalam, di sini pada jam 5.15 pagi, Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa, Siti Mariam Hat, 90-an ditemui maut di dalam sebuah bilik rumah tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anak mangsa, Shuib Awang, 63, berjaya menyelamatkan diri manakala menantunya, Zalina Mohamad, 55, melecur di bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Sik untuk rawatan.

"Kami menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah rumah dua tingkat itu pada jam 5.23 pagi dan tiba di lokasi pada jam 5.28 pagi.

Iklan

"Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak namun dapat dikawal 10 minit kemudian tetapi dimaklumkan terdapat seorang mangsa di dalam rumah itu.

"Mayat mangsa ditemui pada jam 6.02 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamadul Ehsan berkata, tiga buah motosikal turut terbakar dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, Ketua Polis Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, pihaknya menerima aduan orang berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 5.15 pagi.

Menurutnya, seorang wanita yang cedera di bahagian kaki mendapat rawatan di Hospital Sik manakala seorang lagi mangsa lelaki mengalami kecederaan ringan.

"Mayat warga emas yang maut dalam kebakaran rumah itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.