Maqis rampas 144 kg durian Thailand

Iklan
Longgokan buah durian yang dirampas di ICQS Durian Burung pada Isnin. - Foto Maqis Kedah

KUALA NERANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 144 kilogram (kg) buah durian yang cuba dibawa masuk dari Thailand pada Isnin.

Maqis Kedah dalam kenyataannya berkata, rampasan bernilai RM500 itu adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan anggotanya pada jam 5 petang di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, buah durian itu cuba dibawa masuk sebuah lori namun tidak mematuhi syarat import 3P (Perlabelan, Penggredan dan Pembungkusan) yang ditetapkan oleh Maqis.

"Kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu pada Rabu.

Iklan
Lori yang membawa muatan buah durian dari Thailand berjaya ditahan Maqis di ICQS Durian Burung. - Foto Maqis Kedah

Mengulas lanjut, Maqis berkata, kegagalan untuk mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta sama.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara bagi keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara agar mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin," katanya.

Iklan