INDEKS nilai seunit eksport dan import Malaysia kekal mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 1.9 peratus dan 0.5 peratus pada Jun berbanding Mei 2021.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks nilai tersebut disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+7.3 peratus), minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran (+3.5 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.8 peratus).
Menurutnya, indeks eksport merekodkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus pada bulan sama, disumbangkan oleh pertumbuhan indeks bahan kimia (+29.6 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+15.4 peratus), minyak galian (+11.3 peratus).
"Indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang sebanyak 21.2 peratus dari 142.6 mata ke 172.8 mata berbanding tahun sebelum dan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport meningkat 12.8 peratus.
"Indeks nilai seunit import pula meningkat 0.5 peratus pada Jun 2021 berbanding bulan sebelum dan peningkatan tersebut disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak, lemak binatang, sayur-sayuran (+4.4 peratus), minyak galian (+1.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+7 peratus).
"Indeks volum import turut naik 5.5 peratus pada Jun 2021 berbanding bulan sebelum dan disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (+20.5 peratus), makanan (+13 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Uzir berkata, Indeks volum import pelarasan bermusim pada Jun 2021 bertumbuh 14.5 peratus daripada 149.0 mata kepada 170.6 mata berbanding tahun sebelum dan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 5.1 peratus dan 25.8 peratus.
Menurutnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif 1.4 peratus bulan ke bulan dari 103.5 mata kepada 105.0 mata pada Jun 2021 dan berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 7.4 peratus dari 97.8 mata pada Jun tahun lalu.
"DOSM juga menerbitkan perangkaan perdagangan luar negeri muktamad Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi tahun rujukan 2020.
"Jumlah dagangan Malaysia mencatatkan RM1.9 trilion, menurun 3.3 peratus dan Eksport serta Import menyusut 1.1 peratus kepada RM983.8 dan 5.8 peratus kepada RM800.5 bilion dan menghasilkan lebihan dagangan berjumlah RM183.3 bilion meningkat 25.9 peratus,” jelas beliau.
Tambah Mohd Uzir, seiring prestasi perdagangan Malaysia, jumlah perdagangan Sarawak dan Sabah juga menguncup sebanyak 18.7 peratus kepada RM118.1 bilion dan 6.0 peratus kepada RM79.4 bilion berbanding tahun 2019.
Selain itu, beliau berkata, banci penduduk dan perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai.
Katanya, penduduk Malaysia diminta untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada ketinggalan data serta layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my dan di media sosial @MyCensus2020.