SHAH ALAM - Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pemimpin parti yang menyebarkan berita palsu dengan tujuan membangkitkan kebencian kaum dan agama.
Katanya, pihaknya memandang serius tindakan sesetengah pihak menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk menghancurkan keharmonian masyarakat.
Iklan
Iklan
"Ini kerana, keamanan dan keharmonian negara yang mempunyai pelbagai kaum serta agama menjadi tunggak kepada kesejahteraan Malaysia.
"Hari ini tersebar berita palsu di media sosial kononnya Peguam Negara Tommy Thomas sebagai anti Islam dan tidak mahu bertindak tegas terhadap pihak yang menghina kesucian agama Islam," katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara buat laporan polis dituduh anti Islam
Thomas hari ini membuat laporan polis selepas timbul pelbagai fitnah yang menuduh beliau bersikap anti Islam menerusi media-media sosial.
Katanya, tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya tidak benar dan mahu perkara itu disiasat oleh pihak polis.