IPOH - Nasib rakyat telah diperjudikan demi kelangsungan karier politik masing-masing, kata Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau menyelar gerakan politik dilakukan sebilangan ahli Parlimen yang meneruskan agenda politik demi kepentingan peribadi tatkala rakyat terus menderita akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, keadaan itu sekali gus menolak keutamaan kepada sebarang usaha untuk mengurus dan menyelesaikan masalah yang lebih penting dihadapi negara ketika ini.
"Sebagai seorang ahli Parlimen, saya amat terkilan dengan gerakan politik yang dilakukan sebilangan rakan-rakan ahli Parlimen semalam (Selasa) yang memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
"Lebih mengecewakan apabila ada dalam kalangan ahli Parlimen terbabit, sanggup memperjudikan nasib rakyat demi kelangsungan karier politik mereka tanpa sedetik pun mendahulukan kesejahteraan negara dalam menangani pandemik yang melanda," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin umum masih kekal jawatan Perdana Menteri
Keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal: UMNO
Kerajaan PN masih ada sokongan majoriti, termasuk dari PKR: Zahidi
Beliau berkata, negara ketika ini berada di landasan yang betul dalam menangani wabak Covid-19 termasuklah memastikan semua rakyat menerima vaksin menjelang akhir Oktober ini.
Katanya, ia dibuktikan dengan program vaksinasi Covid-19 yang mencapai kepantasan rekod purata 500,000 dos sehari selain penurunan kadar kemasukan pesakit ke hospital disebabkan semakin ramai mendapat vaksin.
"Sebarang usaha untuk beberapa bulan mendatang adalah kritikal bagi memastikan negara terus dilindungi daripada penularan pandemik ini. Pengorbanan barisan hadapan yang bertugas tanpa henti juga perlu diberi perhatian dalam berdepan waktu yang sukar ini.
"Jadi ini bukan masanya untuk bertindak demi kepentingan diri sendiri. Saya menyokong penuh kepimpinan kerajaan kini yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat memerlukan pembelaan dalam berdepan situasi kritikal," katanya.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu berkata, sebarang langkah politik perlu diketepikan buat masa ini, demi keselamatan rakyat dan negara apatah lagi rakyat sudah muak serta bosan dengan senario politik negara.
"Untuk itu, saya memohon kepada semua rakan ahli Parlimen untuk meneruskan khidmat usaha dengan menjalankan kewajipan dan tugas hakiki dalam melindungi rakyat dan negara," katanya.