SHAH ALAM - Tourism Selangor memperkukuh aplikasi 'Go Selangor' dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tourplus Technology Sdn Bhd (Tourplus) pada Selasa.
MoU itu ditandangani oleh Pengurus Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tourplus, Rickson Goh secara dalam talian.
Azrul Shah berkata, aplikasi mudah alih Go Selangor itu sejajar dengan visi menuju 'Pelancongan 4.0' dan digitalisasi pelancongan.
Menurutnya, promosi industri pelancongan Selangor akan menggunakan teknologi canggih Tourplus melalui usahasama itu.
"Aplikasi ini sesuai dengan visi Tourism Selangor untuk memperkuat sistem digitalnya dan meningkatkan pengalaman pelancong di Selangor.
"Selangor adalah negeri paling maju di Malaysia dan kami menginginkan industri pelancongannya menjadi maju. Aplikasi mudah alih Go Selangor pasti menawarkan kemudahan di hujung jari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu Rickson berkata, Tourplus yakin mampu membantu industri pelancongan berubah kepada digitalisasi 4.0.
"Ia juga dapat membantu pemain industri tempatan merancakkan kembali sektor pelancongan pasca Covid -19," katanya.