IPD Kluang lakukan lima operasi serentak dalam Ops Limau

Iklan
Salah seorang suspek yang terlibat kes curi motosikal

KLUANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah melaksanakan lima operasi serentak dan melakukan tangkapan melibatkan tangkapan kes judi haram, curi kenderaan, pecah rumah, curi dalam kenderaan, dan samun berkawan tanpa senjata api serta ragut dalam Ops Limau 2019, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam ops tersebut, seramai 19 lelaki termasuk dua wanita tempatan berumur di antara 28 hingga 79 tahun telah ditahan dalam dua serbuan di sekitar daerah ini kerana terlibat dalam kegiatan judi haram.

Iklan
Iklan

"Serbuan yang dibuat masing-masing membabitkan satu premis kedai minuman dan bengkel kenderaan, kami telah merampas wang tunai sebanyak RM3,725, tiga meja segi empat, sembilan kerusi plastik dan enam biji dadu.

"Turut dirampas adalah 342 batu mahjong dan 225 cip warna pelbagai nilai dan kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 7(2) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan.

Suspek yang ditahan kerana terlibat judi haram

Iklan

Menurutnya, dalam operasi pecah rumah pula, pihaknya telah berjaya menahan seramai 35 warga tempatan dan tiga warganegara asing bagi membantu kes berkaitan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Katanya, pelbagai jenis barangan telah dirampas antaranya empat motosikal, tiga kereta, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, barang kemas dan pelbagai jenis peralatan pecah rumah dan dianggarkan nilai rampasan berjumlah RM22,000.

Iklan

"Hasil kejayaan ini, IPD Kluang telah menyelesaikan 30 kes pecah rumah di daerah Kluang dan satu kes pecah rumah di luar daerah Kluang dan tangkapan akan didakwa dibawah Seksyen 453 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan selain tindakan buang daerah juga akan diambil di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Selain itu, berikutan peningkatan kes-kes curi dalam kenderaan yang dilaporkan, kami telah berjaya memberkas tujuh warga tempatan berumur di antara 19 hingga 42 tahun dan telah merampas beberapa barangan dan berjaya menyelesaikan 13 kes melibatkan kes kecurian dalam kenderaan di daerah ini," katanya.

Dalam operasi samun berkawan tanpa senjata api dan ragut, pihaknya telah berjaya memberkas enam warga tempatan berusia di antara 17 hingga 32 tahun dan turut merampas pelbagai hasil samun selain telah berjaya menyelesaikan dua kes samun berkawan tanpa senjata api dan satu kes ragut di daerah Kluang.

Dalam menangani kecurian kenderaan pula, IPD Kluang telah membuat 19 serbuan di daerah ini dan hasil serbuan telah berjaya menahan (21) warga tempatan berumur di antara 18 hingga 27 tahun dan melakukan pelbagai rampasan yang dianggarkan berjumlah RM10,500.