Operasi Hospital Medan HTAR dijangka mula Jumaat ini

Iklan
Kerja-kerja pembinaan Hospital Medan di HTAR, Klang.

SHAH ALAM - Hospital medan yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dijangka mula beroperasi pada petang Jumaat ini, 6 Ogos.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan fasiliti itu selamat digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Iklan
Iklan

"Hari ini kami sedang laksanakan pemeriksaan dengan teliti dan esok kami akan mulakan latihan pengoperasian sehingga pagi Jumaat, pada sebelah petang atau malam kami jangka akan mula menggunakan hospital medan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Zulkarnain berkata, hospital yang dibangunkan di tempat letak kenderaan HTAR dengan anggaran keluasan 15.24 meter (m) panjang dan 30.48m lebar itu mempunyai kelengkapan yang selesa antaranya bilik rawatan pesakit, bilik donning dan doffing, tandas, bilik mandi serta kaunter jururawat.

Iklan

Ketika ini pihaknya sedang merawat kira-kira 1,000 pesakit Covid-19 dan hospital medan yang mempunyai 100 katil akan digunakan untuk pesakit kategori tiga dan ke atas yang memerlukan rawatan terapi oksigen khusus.

Sementara itu, Dr Zulkarnain mengalu-alukan penyertaan orang awam yang ingin menjadi sukarelawan bukan perubatan di hospital medan dalam membantu kelancaran pengoperasian hospital itu boleh menghubungi Mercy Malaysia.

Iklan

Pembinaan hospital medan adalah Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital Covid-19 Mercy Malaysia, usaha tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Maybank dan Mercy Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit Covid-19 terutamanya di Lembah Klang. -Bernama