JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menzahirkan kekecewaan berhubung kadar vaksinasi di negeri itu yang masih rendah.
Titah baginda, statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 1,184,151 individu menerima vaksin dos pertama sehingga Isnin lalu.
"Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli.
"Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan Covid-19 dan yang telah meninggal dunia.
"Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Rabu.
Baginda bertitah, strategi menangani pandemik itu jelas iaitu melalui vaksinasi seramai mungkin populasi di negeri ini dengan secepat yang mungkin.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda bersama-sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.
Justeru, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di negeri ini malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.
"Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri," titah baginda.