KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan United (KUFC) Nazrulerwan Makmor kecewa dengan persembahan anak buahnya yang gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri sehingga terikat seri 2-2 dengan Selangor FC II dalam saingan Liga Premier semalam.
Menurut Nazrulerwan, pasukannya melepaskan dua gol mudah menerusi dua sepakan percuma di kawasan sendiri selepas pemain hilang tumpuan dengan melakukan kesalahan kecil dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad lV, di sini.
"Walaupun kami mendahului 2-0 namun pemain-pemain kami mengambil mudah, hilang tumpuan dan lalai...kita tidak boleh terima keputusan begini sedangkan kita boleh mendapatkan tiga mata penuh.
"Kita melakukan kesalahan-kesalahan mudah dengan memberikan sepakan percuma dalam kawasan sendiri ia membuka peluang dan keyakinan kepada pemain muda lawan, akhirnya mereka menghukum kita dengan dua jaringan mudah," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu, malam tadi.
Pada perlawanan itu, gol KUFC dijaringkan Muhammad Zafuan Azeman pada minit ke-33 dan Gassama Alfusainey minit ke-54 manakala dua gol penyamaan Selangor FC ll diperoleh menerusi Alexander Agyarkawa pada minit ke-70 dan Saravanan Thirumurugan minit ke-82.
Nazrulerwan berkata, pemainnya hilang tumpuan berkemungkinan disebabkan keletihan apabila melalui jadual perlawanan yang padat sejak saingan liga kembali.
"Faktor kecergasan kita kena faham, dalam 13 hari kita bermain empat sehingga lima perlawanan selain itu kita hanya dapat menjalani latihan sehari dan berehat sehari, perlu melalui perjalanan yang jauh bagi menghadapi satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.
"Selepas ini, kami mempunyai seminggu menjalani latihan sebelum bertemu Kelantan FC, 14 Ogos di Kota Bharu. Ini adalah masa untuk kami memperbaiki kelemahan ketara di posisi tengah dan pertahanan," katanya. -Bernama