SHAH ALAM - Usaha yang digerakkan UMNO untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat hanya membuka peluang untuk golongan kleptokrat untuk kembali berkuasa.
Kebimbangan itu disuarakan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menerusi perkongsian di Facebooknya pada Rabu.
Tony berkata, apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu ini boleh memberi kesan yang besar untuk tahun mendatang.
Menurut beliau, situasi kali ini sukar dan memerlukan rakyat untuk berfikir panjang.
"Sekarang kita mempunyai peluang terbaik untuk menjatuhkan PM (Perdana Menteri) yang mengkhianati mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 dengan membentuk pemerintahan 'pintu belakang' bersama UMNO dan Pas.
"Tetapi, tidakkah jika dia (Muhyiddin) mengundurkan diri, UMNO berjaya memposisikan mereka untuk menjadi PM?
"Apabila mana-mana pemimpin UMNO menjadi PM, tidakkah semua kleptokrat akan dibebaskan (atau mungkin juga mendapat kembali kuasa)?" soalnya.
Tony yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata, sekiranya UMNO kembali menjadi pemimpin di kerajaan, rakyat sudah boleh menjangkakan parti itu akan dapat mengukuhkan kekuatan politik mereka untuk muncul lebih kuat selepas pilihan raya umum akan datang.
"Atau mungkin kita boleh berfikir selangkah ke hadapan untuk menghentikan golongan kleptokrat ini daripada terlepas?
"Lebih teruk lagi jika mereka ini kembali mendapat kawalan dan kuasa politik, walaupun itu bermaksud mereka perlu kekal bertoleransi dengan Perikatan Nasional (PN).
"Itu mungkin boleh menjadi strategi menjadi buat UMNO, sementara PH dan rakyat dapat menyingkirkan Muhyiddin dan Azmin untuk PRU seterusnya,” jelasnya.