Sambutan Maal Hijrah di NS hanya dalam talian

Iklan
AMINUDDIN HARUN

SEREMBAN - Sambutan Maal Hijrah 1443 Peringkat Negeri Sembilan akan disambut dalam talian sahaja pada tahun ini, berikutan kes harian Covid-19 yang masih merekodkan jumlah tinggi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan bersama dan keselamatan rakyat.

Iklan
Iklan

Katanya, tiada acara atau sebarang majlis sambutan Maal Hijrah diadakan bagi memastikan jaminan kesihatan penduduk di negeri ini terjamin.

"Kerajaan negeri tidak akan mengadakan sebarang sambutan sempena Maal Hijrah tahun ini termasuk di masjid dan surau.

Iklan

"Bagaimanapun, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengadakan program sambutan terbabit dalam talian sahaja," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial pada Rabu.

Tambahnya, program secara webinar itu dijangka akan melibatkan sekitar 1,000 peserta dalam talian.

Iklan

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, penggunaan katil di wad ICU di negeri ini menunjukkan penurunan, iaitu sebelum ini tahap penggunaan katil adalah sebanyak 150 peratus, kini menurun kepada tahap 104 peratus.

"Kes harian Covid-19 yang dicatatkan masih tinggi, menyebabkan usaha kita untuk beralih ke fasa dua PPN (Pelan Pemulihan Negara) mungkin mengambil sedikit masa, walaupun kadar vaksinasi di negeri ini amat memberangsangkan.

"Saya harap penduduk dapat bersabar kerana kita pasti dapat kurangkan jumlah jangkitan dan penggunaan katil hasil program vaksinasi," katanya.

Tambahnya, setakat ini seramai 605,619 atau 74 peratus penduduk negeri ini sudah menerima suntikan vaksin dos pertama, manakala seramai 336,586 atau 46 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos.