INDEKS FBMKLCI Bursa Malaysia diunjur mencecah paras 1,680 mata menjelang akhir tahun dengan jangkaan negara beralih ke fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain didorong oleh kadar pemberian vaksinasi Covid-19 yang tinggi.
Pengurus Besar FSMOne Malaysia Wong Weiyi berkata, Bursa Malaysia adalah antara pasaran Asia yang mempamerkan prestasi terburuk di bawah liputannya setakat ini dengan pulangan sekitar 5.8 peratus pada separuh pertama tahun ini.
"Walaupun angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih belum kelihatan baik untuk tahun penuh, pasaran saham pada amnya amat positif. Selagi kita dapat meneruskan urus niaga, pelabur akan kembali dan itu pastinya akan membantu indeks FBM KLCI naik sedikit," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
FSMOne Malaysia adalah platform pelaburan digital pelbagai aset di bawah iFAST Capital Sdn Bhd, yang ditubuhkan di Malaysia sejak 2008.
Wong berkata para pelabur dinasihat untuk menumpukan perhatian pada saham permodalan kecil kerana saham-saham tersebut yang paling banyak mencatatkan kerugian.
"Saham berkaitan teknologi (seharusnya turut diberi tumpuan) kerana situasi Covid-19 masa ini jelas menunjukkan kebanyakan syarikat perlu didigitalkan. Semua syarikat yang mempunyai pendedahan teknologi seperti industri berkaitan semikonduktor akan menyaksikan pertumbuhan pendapatan yang lebih baik dalam beberapa tahun akan datang," tambahnya.
Pada bulan Julai, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan prospek pertumbuhan ekonomi akan diturunkan untuk tahun ini daripada unjuran awal antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus berikutan penguatkuasaan kawalan pergerakan bagi membendung penularan pandemik.
Bank Negara Malaysia dijangka mengumumkan pertumbuhan KDNK untuk suku kedua tahun ini pada 13 Ogos.
Setakat 3 Ogos, sebanyak 22,152,367 dos vaksin Covid-19 telah diberikan di negara ini.
Bagaimanapun, Wong berkata, pelabur asing kemungkinan menjauhkan diri dari pasaran ekuiti Malaysia dalam masa terdekat kerana perkembangan politik domestik semasa serta jangkitan Covid-19 yang tinggi.
"Inilah antara sebab mengapa mereka enggan memasuki pasaran dan dari segi pelabur tempatan pula sebenarnya, setakat ini mereka mencari peluang pelaburan luar dari Malaysia," tambahnya.
Malaysia mencatatkan 19,819 kes Covid-19 baharu pada hari Rabu, yang tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah terkumpul 1,183,110. Rekod tertinggi sebelumnya adalah 17,786 dicatatkan pada 31 Julai.
Kematian harian turut meningkat ke paras tertinggi baharu berjumlah 257 daripada rekod sebelumnya 219 pada Isnin, meningkatkan jumlah kematian dalam negara kepada 9,855.
Mengenai ringgit, FSMOne menjangkakan mata wang tempatan terus lemah berbanding dolar AS kepada 4.25 kerana Amerika Syarikat, United Kingdom dan zon Euro mempamerkan pemulihan lebih cepat daripada jangkaan cengkaman Covid-19.
"’Kesemua negara ini akan dapat mengurangkan program pembelian aset masing-masing, dari sudut kadar faedah pula yang pada ketika ini berada paras rendah, mereka berpeluang baik untuk menormalkan kembali kadar faedah itu. Besar kemungkinan para pelabur akan bertumpu di sini untuk memanfaatkan kadar faedah yang tinggi,” katanya.
Sebaliknya, ini akan memberikan tekanan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun seperti ringgit.
Mengenai kadar dasar semalaman (OPR) pula, ujar Wong, Bank Negara Malaysia mungkin mengekalkannya pada 1.75 peratus sehingga pertengahan 2022 untuk membantu perniagaan meningkatkan aliran tunai mereka pada persekitaran kadar faedah rendah selepas moratorium pinjaman baharu berakhir. -Bernama