KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetap teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, STAR berpendirian Muhyiddin masih lagi sebagai Perdana Menteri walaupun banyak tekanan memaksa beliau untuk berundur.
"Muhyiddin masih Perdana Menteri di bawah perlembagaan. Parlimen akan bersidang pada September dan semua ahli Parlimen berpeluang menentukan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.
"Sementara itu, tuduhan-tuduhan bahawa beliau menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) adalah tidak berasas, dan sangat mengganggu pada saat kita semua sepatutnya bekerjasama, baik kerajaan mahupun pembangkang untuk memerangi Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata, usaha kerajaan untuk menghentikan penyebaran Covid-19 terjejas oleh gangguan politik yang berterusan dan melemahkan usaha melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti dijadualkan.
"Apa yang menyedihkan saya, sepanjang empat hari Parlimen bersidang, pihak pembangkang berkeras bermain politik tanpa menyumbang apa-apa dalam memerangi Covid-19.
"Apa yang kita perlukan sekarang adalah komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan untuk memastikan negara berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonomi demi kebajikan rakyat.
"Pembangkang harus memberikan kerajaan peluang untuk melaksanakan pelan pemulihan ini," katanya.