PASIR MAS - Mata Muhammad Taufiq Sulaiman, 44, berkaca saat membawa ibunya bersiar-siar dengan kereta baharunya.
Terasa dia sudah benar-benar membahagiakan wanita itu biarpun tidak pernah sekalipun merasa terbeban menjaga ibunya yang lumpuh.
Sentiasa berpijak di bumi nyata, Muhammad Taufik dan ibunya, Habshah Ngah, 83, yang dipanggil chek tidak pernah mengeluh dengan keadaan mereka.
Berpanas atau berhujan menaiki motosikal, Muhammad Taufiq akan memenuhi permintaan ibunya yang lumpuh untuk ke mana sahaja dengan meletakkan warga emas itu di dalam bakul hadapan motosikal umpama 'anak kecil'.
Bagi anak beranak ini, apa yang penting, mereka tidak menyusahkan orang lain.
Namun, itulah kehidupan, yang susah dibantu agar nikmat selesa dirasai bersama.
Dek kerana keikhlasan si anak menjaga ibunya, rahmat ALLAH SWT tiada siapa menduga.
Muhammad Taufiq dihadiahkan sebuah kereta terpakai jenis Perodua Kancil, pemberian insan yang hanya mahu dikenali sebagai 'hamba ALLAH.
Terkesan dengan kisah ini mungkin, hinggakan menjentik rasa simpatinya untuk menghadiahkan keretanya kepada Muhammad Taufiq.
"Saya hanya mampu mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT di atas pemberian ini.
"Dengan adanya kereta ni, dapatlah saya bawa chek dengan lebih selesa tanpa perlu berpanas lagi," katanya.
Tanpa berselindung, Muhammad Taufiq amat terkejut dengan pemberian ini yang sanggup menghadiahkan kereta terpakai kepadanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kasih anak demi ibu tercinta
Sinar Harian 20 Februari lalu melaporkan, bagaimana gigihnya Muhammad Taufiq menjaga ibunya.
Berbekalkan sebuah motosikal, seorang anak sanggup meletakkan ibunya yang lumpuh di dalam bakul hadapan umpama membawa kanak-kanak kecil bagi memenuhi permintaan insan tercinta itu ke mana sahaja.
Sebaik sahaja berita tersebut dimuat naik bersama video berdurasi dua minit, ia mula menjadi tular.
Tidak hanya itu, kisah Muhammad Taufiq juga merupakan tenaga pengajar di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Kampung Banggol Naim, Gelang Mas mendapat perhatian dan menyentuh perasaan netizen.
Bahkan ketika Muhammad Taufiq menyuap makanan ke mulut ibunya di sebuah kedai di pekan Wakaf Bharu, Tumpat, juga tular di media sosial.
Rata-rata netizen memuji sikap terpuji yang ditunjukkan oleh Muhammad Taufiq.