KUANTAN - [DIKEMASKINI] Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM9.5 bilion ke Pahang sekali gus melepasi sasaran awal RM5.1 bilion tahun ini.
Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 6,700 peluang pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ECERDC turut merealisasikan pelaburan bernilai RM2 bilion di Pahang tahun ini.
Menurutnya, walaupun berdepan tempoh mencabar, pelaburan itu dapat direalisasikan hasil kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi-agensi berkaitan.
"Kerjasama ini menyumbang kepada peningkatan pelaburan baharu yang signifikan merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang tahun ini.
"Bagi mengekal momentum kemasukan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua tahun 2021 terutama dalam sektor ekonomi utama," katanya.
Wan Rosdy sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang secara dalam talian yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC diharap dapat mengekalkan momentum dalam memastikan projek-projek strategik dan inisiatif-inisiatif yang dirancang untuk Pahang diteruskan.
Menurutnya, inisiatif itu membantu mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati rakyat negeri ini.
Sementara itu, Baidzawi berkata, walaupun tiada misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa.
Jelasnya, antara webinar yang dianjurkan termasuk ‘Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries' anjuran bersama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun atau JETRO.
"Selain itu turut dianjurkan ‘Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN’ dengan kerjasama wakil perdagangan daripada Persekutuan Rusia dan ‘Investment Opportunities in Life Sciences and Medical Technology in ECER’," katanya.
Beliau berkata, webinar pelaburan tersebut berjaya menarik penyertaan lebih 900 pelabur berpotensi.
Menurutnya, ECERDC juga akan mengetengahkan Taman Automotif Pahang (PAP) sebagai Taman Perindustrian Automotif Hijau melalui kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), SIRIM dan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES).
"PAP sedang ditingkatkan sebagai taman perindustrian mesra alam yang dilengkapi ciri-ciri penjimatan tenaga, tenaga boleh diperbaharui yang dikuasakan tenaga solar dan sistem pengurusan sisa yang holistik selaras dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik (EV) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).
"Inisiatif ini dijangka menarik pelaburan baharu dalam pembuatan EV yang mana jenama terkenal yang kini beroperasi di PAP adalah Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Mitsubishi.
"PAP juga menempatkan Universiti Automotif DRB-HICOM Malaysia bagi menyediakan tenaga kerja mahir bagi sektor automotif dan salah satu syarikat perintis di PAP ialah HICOM Automotive Manufacturers (M) Sdn Bhd," katanya.