Pelantikan Ahmad Faizal beri impak positif

Iklan
Ahmad Faizal menyampaikan ucapan penutup pada Program Srikandi Muda 'Leadership Empowerment 2021' di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf menteri akan memberi impak positif dalam usaha memperkasa pentadbiran kerajaan.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pelantikan itu adalah tepat dan dilihat dapat membantu Perdana Menteri memperkasakan urus tadbir negara dengan lebih sempurna, di samping mendokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berjalan.

Iklan
Iklan

"Bersatu Perak yakin dengan komitmen beliau dalam mengalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

"Berdasarkan pengalaman yang luas, beliau akan menjadi aset penting dalam merekayasa pentadbiran negara di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, Bersatu Perak bersama seluruh kepimpinan negeri menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan berkenaan.

"Semoga pelantikan ini berkesan dan terus istiqamah dalam membina negara, sekali gus menjadikan Malaysia negara yang cemerlang," katanya.

Iklan

Pada Khamis, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Ahli Parlimen Tambun dan bekas Menteri Besar Perak itu akan bertanggungjawab menasihati Muhyiddin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.