Duta Khas ASEAN ke Myanmar mesti diberi kebebasan bertemu semua pihak

Iklan
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR - Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof yang baharu dilantik mesti diberikan kebebasan bertemu semua pihak di negara itu dalam usaha membantu menangani keadaan semasa di sana.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengalu-alukan pelantikan Erywan yang juga Menteri Luar II Brunei berkata, ia menjadi langkah penting ke arah pelaksanaan konsensus yang dikeluarkan mesyuarat pemimpin ASEAN pada 24 April.

Iklan
Iklan

"Dalam melaksanakan konsensus lima perkara yang mendapat mandat pemimpin ASEAN, Malaysia gembira dengan permuafakatan dalam pelantikan Erywan.

"Malaysia amat menyokong pelantikan duta khas itu kerana beliau mampu melaksanakan tugas ini," katanya di akaun Twitternya.

Iklan

Hishammuddin berkata, duta khas ini juga akan bekerjasama dengan Setiausaha Agung ASEAN bagi menghantar bantuan kemanusiaan menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres turut mengalu-alukan pelantikan Erywan dan berharap dapat meneruskan kerjasama badan dunia itu dengan ASEAN secara lebih menyeluruh berhubung krisis di Myanmar.

Iklan

Sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari yang menggulingkan kerajaan diterajui Aung San Suu Kyi, Myanmar telah dicengkam krisis politik dan kesihatan awam yang semakin meruncing, diburukkan lagi dengan peningkatan kes Covid-19.

Kumpulan aktivis mendakwa lebih 900 orang terbunuh sementara hampir 7,000 yang lain telah ditahan sejak rampasan kuasa. Namun, menurut tentera jumlah penunjuk perasaan yang terbunuh adalah jauh lebih rendah.

Dalam mencari jalan keluar krisis di Myanmar, ASEAN telah mencapai konsensus lima perkara iaitu pertama, menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar dan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang; kedua, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan akan dimulakan untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat; ketiga, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN; keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA; dan kelima, duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan. - Bernama