KUCHING- Walaupun terlepas peluang untuk membawa pulang pingat di temasya Olimpik Tokyo petang Khamis, Pamg Joheng tetap berbangga dengan pencapaian anaknya, Pandelela Rinong.
Menurut Pamg, temasya Olimpik 2020 sangat mencabar mental dan fizikal anaknya sepanjang acara itu bermula.
"Sebagai ayah Pandelela, semestinya saya berasa bangga kerana anak saya telah berjaya sampai ke peringkat Olimpik dan telah tercalon untuk saringan akhir bagi sukan terjun 10 meter.
"Tidak dinafikan bahawa temasya Olimpik kali ini sangat mencabar dari aspek mental dan fizikal Pandelela. Namun, saya percaya dia telah lakukan yang terbaik dan itu sudah memadai bagi saya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Pada masa sama, Pamg juga berharap Pandelela akan terus fokus dalam kejohanan akan datang dan tidak berputus asa agar untuk membolehkan dirinya layak ke temasya Olimpik seterusnya.
Tambahnya, menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun sebagai ibu bapa, dia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Pandelela.
"Saya selaku ayah Pandelela ingin memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana Pandelela tidak dapat membawa pulang sebutir pingat bagi temasya Olimpik kali ini.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak yang selalu menyokong beliau selama ini,” katanya lagi.
Pandelela sebelum ini layak ke pusingan final bersama 11 penerjun terbaik selepas menamatkan saingan separuh akhir di tempat ketujuh dengan 315.75 mata selepas melengkapkan lima terjunan.
Pada aksi final di Pusat Akuatik Tokyo sebentar tadi, Pandelela menamatkan saingan acara 10 meter platform wanita individu di kedudukan terakhir daripada 12 peserta.
Terjunan kurang kemas pada pusingan pertama menyaksikan Pandelela hanya meraih 18 mata, sebelum bangkit menampilkan aksi memuaskan dengan mengumpul 71.05 mata pada terjunan kedua.
Menerusi pusingan ketiga dia memperoleh 60.80 mata, diikuti 52.80 mata (terjunan keempat) dan menamatkan cabaran dengan mengutip 43.20 mata di terjunan kelima.
Secara keseluruhan anak kelahiran Sarawak ini mengumpul 245.85 mata selepas lima terjunan.
Pandelela sebelum ini pernah merangkul pingat perak menerusi acara 10 meter platform seirama bersama Cheong Jun Hoong pada Olimpik Rio 2016 dan gangsa menerusi 10 meter platform individu wanita pada Olimpik London 2012. - Sumber Awani