JELI - Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 15 Lebuh Raya Timur Barat Jeli - Gerik di sini, hari ini.
Pelanggaran kira-kira jam 1 petang membabitkan kenderaan pelbagai guna Proton Exora dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton itu turut menyebabkan lapan yang lain cedera.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shahril Mohamad Sa’aid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 1.05 petang sebelum enam anggota diketuai Pegawai Bomba Norazman Sulaiman bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa yang maut adalah pemandu Proton Exora, Mohzan Othman, 54 dan penumpang hadapan kereta berkenaan yang juga isteri Mohzan, Rose Haiza Ishak, 44.
"Manakala tiga penumpang Proton Exora, Noriman Khairini Mohzan, Norzila Zulaikha Mohzan dan Norzaiti Izati Mohzan masing-masing berusia berusia 7, 10 dan 17 tahun cedera,” katanya.
Menurutnya, pemandu Mitsubishi Triton, Rosli Wahab berusia 57 tahun serta empat penumpang lelaki kenderaan berkenaan turut cedera dan dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, difahamkan pasangan suami isteri berkenaan dalam perjalanan dari Jitra, Kedah ke Pasir Mas untuk menjemput anak mereka yang sedang mengikuti pengajian di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas.