2,000 petugas barisan hadapan pelancongan Perak belum divaksin

Iklan
Nolee Ashilin (tengah) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada wakil peniaga Memory Lane, Ku Ahmad Ku Jusoh (kanan) di Majlis Bandaraya Ipoh pada Khamis. - Foto Bernama

IPOH - Kira-kira 2,000 petugas barisan hadapan industri pelancongan di Perak belum menerima vaksin, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat permohonan kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan menunggu kelulusan agar suntikan vaksin dapat diberikan kepada kesemua petugas barisan hadapan industri pelancongan negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kami sudah meminta kelulusan CITF agar mereka yang berdaftar dengan Tourism Perak ini mendapatkan suntikan vaksin sekurang-kurangnya pada bulan ini. Ia bergantung kepada bekalan vaksin yang ada. Kami akan guna segala platform yang ada untuk mendapatkan vaksin sesegera mungkin,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Terdahulu, Nolee selepas menyampaikan 300 bakul makanan kepada wakil peniaga di sini berkata, pihaknya menerima lebih 5,000 nama pemain industri pelancongan Perak yang berdaftar melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Iklan

"Daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 orang yang kami saring telah menerima suntikan vaksin di daerah masing-masing. Jadi kira-kira 2,000 lagi khasnya petugas barisan hadapan industri pelancongan perlu divaksin termasuk sektor perhotelan, inap desa dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lima kawasan utama pelancongan di negeri ini akan dijadikan sebagai kawasan Covid-19 Free Destination yang akan diiktiraf MOTAC iaitu Ipoh, Kuala Kangsar, Kampar, Batu Gajah dan Lumut. - Bernama

Iklan