Bumi dari kaca mata pengguna kerusi roda

Iklan
Mykola Podrezan. - Foto: Google

KUALA LUMPUR - Peribahasa"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” menepati perjalanan hidup Mykola Podrezan. Jurutera berusia 66 tahun dari Ukraine itu adalah seorang paraplegik namun keadaannya tidak menghalang beliau melakukan sesuatu yang amat diminatinya - melancong.

Perjalanan"marathon” pertamanya menyaksikan beliau melawat 35 bandar di 27 buah negara dalam enam benua, dan kini sedang mengunjungi Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada perjalanan kedua jelajah dunia beliau.

Iklan
Iklan

"Lawatan ini adalah sebahagian daripada projek yang saya namakan ‘Planet Earth, as viewed from a wheelchair’. Ia tidak mudah bagi saya (sebagai pengembara berkerusi roda). Malah, saya tidak terfikir bahawa ia akan menjadi begitu sukar (ketika mulakan perjalanan),” katanya ketika ditemui di kedutaan Ukraine di sini pada awal Januari lepas.

Podrezan berada di Malaysia dari 22 Januari hingga 4 Februari sebagai sebahagian daripada misi lawatannya ke Asia Tenggara.

Iklan

Podrezan, yang mengembara bersama-sama isterinya, Nataliya Griaznova, 53, seorang doktor fizikal dan pakar perubatan rehabilitasi, menggunakan perbelanjaan sendiri untuk kebanyakan lawatan mereka ke luar negara.

Tujuh Tahun

Kemalangan jalan raya yang teruk pada November 1991 menyebabkan Podrezan tidak dapat berjalan setelah lumpuh dari pinggang hingga ke bahagian bawah tubuh.

Iklan

Tidak mahu kecacatan menjadi penghalang untuk melakukan perkara yang digemarinya, seperti melancong ke seluruh dunia, beliau memulakan perjalanan"marathon” pertama dari kampung halamannya Kiev - ibu kota Ukraine - pada September 2011.

Mengambil laluan Obor Olimpik Musim Panas 2004 sebagai panduan, perjalanan beliau ke 35 bandar di 27 negara dilengkapi dalam tempoh tujuh tahun pada Julai 2018.

(Larian obor untuk Athens, Greece, bagi Olimpik 2004 adalah yang pertama diadakan di seluruh dunia.)

Secara kebetulan, ketika Podrezan berada di Switzerland pada November 2017, beliau berpeluang bertemu presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Balch di ibu pejabat IOC di Lausanne, yang menyatakan bahawa projek Podrezan sebagai sesuatu yang"unik”.

Perjalanannya ke seluruh dunia pastinya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan. Mengimbau kembali lawatannya ke Taj Mahal di Agra, India, Podrezan berkata monumen cinta itu - salah satu daripada tujuh keajaiban dunia - adalah antara destinasi impian beliau sejak sekian lama.

Bagaimanapun, bak kata orang - dekat tapi jauh - beliau tidak dapat masuk ke dalam Taj Mahal kerana tempat itu tidak dilengkapi kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk pengguna kerusi roda seperti dirinya.

"Memang sangat mengecewakan. Saya mengembara beribu-ribu batu untuk ke sana (Taj Mahal), tetapi tidak dapat masuk ke dalamnya,” katanya kesal.

Kemudahan Untuk Golongan Kurang Upaya

Podrezan, yang merupakan personaliti pelancongan Ukraine pada 2003, menerima sokongan padu daripada masyarakat diplomatik dan Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin sepanjang perjalanannya.

Beliau juga mendapat sokongan kedutaan Ukraine di setiap negara yang dikunjunginya, lantaran itu memudahkan pasangan itu bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Podrezan juga mengkaji mengenai kemudahan awam yang disediakan untuk golongan kurang upaya di negara-negara yang dikunjunginya.

"Saya juga mempelajari bagaimana monumen kebudayaan dan sejarah disesuaikan untuk golongan kurang upaya di bandar-bandar seperti Copenhagen (Denmark), Florence (Itali), Seoul (Korea Selatan) dan London (United Kingdom),” tambah beliau.

Beliau juga meneliti dan mempelajari pelbagai teknologi serta konsep yang digunakan di negara-negara lain untuk menampung keperluan OKU dengan tujuan memperkenalkan kemudahan itu di Kiev kelak, terutamanya di tapak bersejarah yang menarik pelancong.

"Ketika Soviet Union menguasai(Ukraine), infrastruktur bagi OKU sama sekali tidak wujud, kita hanya ada rumah khas untuk golongan berkenaan, yang juga ditawarkan kepada kalangan pesara. Jadi, Ukraine terpaksa bermula dari awal (berkaitan kemudahan awam untuk OKU).

"Bagi saya, perjalanan masih jauh untuk mencapai ke tahap itu, namun, apa yang membuatkan saya optimistik adalah dinamik yang kita kongsi agak baik dan dari segi transformasi, bukan sahaja terdapat perubahan dalam infrastruktur fizikal tetapi juga mentaliti rakyat,” katanya.

Podrezan, yang juga merupakan anggota Ukrainian Academy of Construction, berkata dengan penyertaannya, pihak berkuasa di Kiev membina kemudahan yang mesra golongan OKU di tempat utama seperti National Ukrainian Drama Theatre, National Palace of Arts dan Academic Theatre.

Filem Kisah Benar

Semangat Podrezan untuk meneruskan hidup dan kehidupannya yang luar biasa walaupun mengalami kecacatan fizikal memberi inspirasi kepada pembuat filem Ukraine Serhiy Krutsenko, yang juga seorang pemuzik dan komposer, untuk mengarah filem tempatan berdasarkan kisah Podrezan.

Terdahulu, Krusenko membuat filem berdurasi 20 minit mengenai Ukraine yang mengandungi satu babak tentang Prodezan. Melihatkan potensi kisah kehidupan Podrezan yang menarik, beliau membuat sebuah filem berskala penuh berdurasi 60 minit dengan tajuk ‘Stronger than Angel’.

"Filem itu kini sedang disunting dan diberi sentuhan terakhir di Amerika Syarikat. Kami berharap ia dapat ditayangkan (di Ukraine) pada musim panas ini,” kata Podrezan, sambil menambah bahawa filem itu adalah wayang gambar dan bukan dokumentari.

"Filem itu mengisahkan kehidupan sebenar, mengenai saya dan golongan berkerusi roda,” katanya.

Mengulas lawatannya ke Malaysia, Podrezan berkata beliau tidak tahu banyak perkara tentang Malaysia sebelum datang ke negara ini.

"Saya hanya tahu mengenai Malaysia setelah sampai di sini, apa yang menarik perhatian saya adalah kepelbagaian etnik dan budaya. Malah di sesetengah tempat terdapat masjid, berdekatannya pula ada gereja, kuil Buddha dan Hindu. Ternyata rakyat negara ini yang pelbagai kaum dan agama mengutamakan aspek saling menghormati,” tambah beliau.

Menyentuh kemudahan untuk golongan OKU di Malaysia, Podrezan berkata, secara keseluruhan, masih ada ruang untuk penambahbaikan. Beliau kagum dengan kemudahan di lapangan terbang Kota Bharu di Kelantan, namun merasakan bahawa perkhidmatan untuk pelancong OKU di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur boleh diperbaiki lagi. - Bernama