KUANTAN - Bukit Goh yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuantan adalah sebuah penempatan tanah rancangan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri menerusi agensi Felda.
Penempatan itu yang dibangunkan secara berperingkat melibatkan empat fasa bermula 1967 meliputi kawasan pertanian seluas 2,831.86 hektar, manakala kawasan penempatan pula 183.10 hektar.
Sejak itu, Felda Bukit Goh yang dimajukan oleh agensi terbabit dengan penglibatan seramai 671 keluarga peneroka mula dikenali ramai selepas kawasan itu ditanam dengan kelapa sawit.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Goh, Jefri Salim, di awal pembukaan kawasan itu, ia telah dibangunkan oleh kerajaan bagi tujuan pertanian.
"Kalau tidak silap saya, kawasan ini asalnya hutan dan mereka ketika itu terpaksa bekerja keras menjaga pokok kelapa sawit kerana ia adalah sumber pendapatan utama menyara keluarga.
"Dari segi tempat tinggal tidak ada masalah, kerana kerajaan negeri menyediakan rumah kediaman untuk mereka memulakan kehidupan sebagai peneroka,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Goh, semalam.
Sungguhpun Bukit Goh bukan sebuah daerah atau mukim kerana ia salah satu tanah rancangan Felda, tetapi pengurusannya terletak bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan.
Ia juga mempunyai wakil rakyat di bawah DUN Sungai Lembing dan Parlimen Paya Besar.
Bagaimanapun, beliau mengakui tiada mana-mana catatan yang mendedahkan siapa yang memberi nama Bukit Goh.
Menurut Jefri, tanah rancangan itu telah pun diberi pemilikan individu selepas lapan tahun tanah itu diusahakan, iaitu tahun 1975.
Kini, katanya, Felda Bukit Goh adalah sebuah penempatan terancang yang mempunyai jumlah penduduknya seramai 3,000 orang dan keluasannya juga semakin bertambah, iaitu meliputi kira-kira 7,000 hektar.
Dalam konteks negara, ujar beliau, tanah rancangan ini dianggap sebagai salah satu institusi terpenting kerajaan dan rakyat.
"Dalam proses pembangunan, erti kebajikan yang dilaksanakan dan diterapkan oleh gagasan pemikiran para pemimpin negara telah diterjemahkan dalam pelbagai pelaksanaan program dan projek yang melibatkan rakyat.
"Justeru, dalam pembinaan Malaysia, rakyat sama ada secara langsung atau tidak, tetap merasai nikmat yang sebahagiannya berasaskan kepada legasi jasa yang dicetuskan pemimpin negara,” katanya.
Sawit sumber utama
Kelapa sawit adalah kegiatan ekonomi utama masyarakat Felda Bukit Goh dan jika diimbau dari awal penerokaan untuk dijadikan tanaman kelapa sawit, penerokaan tanah untuk tujuan tersebut telah pun bermula sejak tahun 1966 hingga 1967 bagi peneroka peringkat pertama.
Menurut Jefri, penanaman kelapa sawit bagi peneroka peringkat pertama bermula pada Jun 1968 dengan ladang seluas 1,215.78 hektar.
"Anggaran pendapatan pengusaha kelapa sawit ini antara RM800 hingga RM1,500 sebulan,”katanya.
Selain itu, kata Jefri lagi, terdapat juga dusun buah-buahan di kawasan itu yang ditanam sebagai punca pendapatan sampingan.
Hubungan baik penduduk
Jefri memberitahu, keseluruhan penduduk Felda Bukit Goh termasuk isi rumah adalah seramai 3,000 orang, tetapi jika dikira dari jumlah peneroka sahaja seramai 700 orang.
Bagaimanapun, mereka mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain, selalu bermuafakat dan ringan tulang dalam melakukan aktiviti seperti gotong-royong, kenduri, majlis ilmu dan sebagainya.
"Amalan kunjung-mengunjung, bertegur sapa dan bersatu padu dalam segala hal sudah menjadi kebiasaan kepada penduduk di sini. Aktiviti pertanian juga berjaya mengeratkan hubungan persaudaraan sesama mereka.
"Bagaimanapun, masih terdapat budaya melepak di warung, berbual kosong dan bermain dam. Budaya ini perlu dikikis kerana ianya tidak mendatangkan faedah dan hanya membuang masa,” katanya.
Beliau berkata, sepatutnya masa yang terluang itu diisi dengan aktiviti berfaedah seperti kerja sampingan untuk menambah hasil pendapatan dan menjana ekonomi keluarga serta mengikuti kelas pengajian al-Quran untuk menambah ilmu pengetahuan.
Mengenai institusi peneroka, kata Jefri, bagi memantapkan kepimpinan dan penglibatan peneroka dalam pengurusan rancangan, beberapa organisasi ditubuh.
Antara program itu ialah pengurusan blok, Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR), gabungan JKKR, Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
Semua badan peneroka itu memainkan peranan besar kepada pembangunan Institusi peneroka.