Kerajaan perlu kawal selia industri vape

Iklan
Kawal selia industri vape akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam pengilangan peranti dan e-cecair dan juga penjualan dan pengedaran produk di pasaran.. Syamil Hanafiah (kiri), Rizani Zakaria (tengah) dan Ashraf Rozali (kanan)

SHAH ALAM - Pertubuhan dan persatuan industri vape tempatan dan pengguna vape memohon kerajaan memperkenalkan peraturan mengawal selia industri vape terutamanya berkenaan penggunaan nikotin dalam cecair vape.

Gabungan pertubuhan berkaitan vape dianggotai Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA) dan Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) dalam kenyataan bersama berkata, peraturan serta hala tuju yang jelas akan membantu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam industri vape.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, industri vape tempatan pada masa ini dianggarkan bernilai RM2.27 bilion yang membabitkan 3,300 perniagaan dengan lebih daripada 15,000 pekerja dan terdapat lebih daripada 1 juta pengguna vape di Malaysia.

"Dengan peraturan dan hala tuju yang jelas, industri vape berpotensi untuk menarik pelaburan domestik serta pelaburan asing memandangkan industri vape tempatan pada masa ini mempunyai satu ekosistem yang cukup besar dengan pengilang, pengimport, pengedar, penjual serta pengguna," ujar kenyataan itu.

Iklan

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Ketua Penerangan DPVM, Ashraf Rozali; Presiden MVIA, Rizani Zakaria dan Timbalan Setiausaha Agung MEVTA, Syamil Hanafiah pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, kawal selia industri vape juga akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam pengilangan peranti dan e-cecair dan juga penjualan dan pengedaran produk di pasaran.

Iklan

Ini akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya dalam situasi semasa di mana pandemik Covid-19 telah menjejaskan banyak sektor dan pekerja.

"Peraturan juga akan memastikan pengguna menggunakan produk yang dikawal selia dan selamat untuk digunakan. Ia juga akan membantu membendung penyalahgunaan produk terutamanya dalam memastikan tiada penjualan kepada atau penggunaan oleh mereka yang di bawah umur," kata kenyataan itu lagi.

Pada masa yang sama, mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Japan Tobacco International (JTI) untuk menaikkan kadar cukai eksais untuk vape kepada kadar sama dengan rokok sepertimana yang dilaporkan media baru-baru ini kerana cadangan tersebut adalah tidak wajar.

JTI menganggarkan sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan, kerajaan mampu memperoleh hasil cukai lebih daripada jumlah yang disumbangkan industri rokok.

"Kadar cukai eksais yang diperkenalkan kerajaan awal tahun ini untuk peranti dan cecair vape tanpa nikotin tidak wajar untuk dinaikkan. Sebaliknya ia perlu diperluaskan untuk merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin kerana majoriti produk dalam pasaran adalah cecair vape yang mengandungi nikotin.

"Ini perlu disertakan sama sekali dengan pengenalan peraturan untuk mengawal selia produk termasuk standard kandungan dalam cecair vape," tegas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, industri rokok sendiri telah membuktikan kenaikan cukai ke kadar yang tinggi mendorong perokok beralih kepada pasaran rokok seludup dan cadangan syarikat JTI seolah-olah bertentangan dengan bukti yang dikemukakannya selama ini.

"Sekiranya kadar cukai yang tinggi dikenakan ke atas produk vape, ia bukan sahaja menghalang usaha perokok berhenti merokok melalui vape, malah ia berkemungkinan mendorong penyeludupan produk vape yang mengelakkan cukai," katanya.

Pada masa yang sama, kata mereka, anggaran bahawa setiap mililiter cecair vape bersamaan dengan dua puluh batang rokok adalah tidak logik kerana kedua-dua produk ini bukannya produk yang sama dan ia tidak boleh disamakan sepertimana yang dicadangkan JTI.

"Rokok adalah terbukti berbahaya untuk kesihatan manakala produk vape telah terbukti kurang mudarat berbanding merokok dan membantu perokok berhenti merokok.

"Apa yang penting adalah hala tuju industri ini perlu dibincangkan bersama antara pihak kerajaan, pihak industri dan pihak pengguna," katanya.

Oleh yang demikian, kata kenyataan itu, mereka semua memohon agar kerajaan akan membuat sesi konsultasi bersama sebelum keputusan berkenaan peraturan kawal selia dan percukaian dibuat.