Tiada kluster Aidiladha di Selangor, sektor kilang penyumbang terbesar kes

Iklan
Gambar hiasan. Datuk Dr Sha'ari Ngadiman (gambar kecil)

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tiada kluster membabitkan sambutan Aidiladha dikesan di Selangor, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Menurutnya, ia menunjukkan rakyat dan penduduk di negeri itu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sambutan Hari Raya Aidiladha yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Ini bermakna rakyat yang berada di Selangor amat akur dengan SOP," katanya pada sidang akhbar khas Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat.

Menurutnya, trend peningkatan kes di Selangor telah berlaku pada sebelum Hari Raya Aidiladha.

Iklan

"Trend ini selaras dengan peningkatan jumlah saringan yang dijalankan Selangor bermula minggu epid ke-25 sehingga kini," katanya.

Beliau berkata, antara punca berlakunya peningkatan saringan di Selangor adalah kerana terdapatnya kesedaran yang meluas di kalangan orang awam di Selangor untuk segera melakukan ujian terutamanya di fasiliti swasta.

Iklan

"Terdapat 85 peratus ujian saringan harian yang dijalankan di Selangor adalah dilakukan di fasiliti swasta," katanya.

Dr Sha'ari berkata, berdasar data kluster aktif bagi Julai, kluster perkilangan penyumbang terbesar kes di negeri itu dengan 96 kluster dan bersamaan dengan 54 peratus.

"Ia diikuti dengan 22 kluster perkhidmatan (12 peratus), 18 kluster tapak bina (10 peratus) dan sembilan kluster komuniti (lima peratus)," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kluster perkilangan, beliau berkata, majoriti sektor itu patuh kepada SOP dan transimis berlaku di luar kilang.

"Mungkin (di) kilang patuh SOP, tetapi apabila balik, mereka tidak patuh dan pergi semula ke kilang, ini yang berlaku," katanya.

Tambahnya, sebanyak 40 peratus kes positif dikesan melibatkan kontak rapat, 22 peratus individu bergejala, 20 peratus kes dalam kalangan pekerja dan 14 peratus bukan dalam kalangan pekerja.

"Sebab itu saya minta sangat sektor industri ini patuh kepada SOP walau di mana mereka berada," katanya.