MELAKA TENGAH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menukar kira-kira 100,000 daripada 340,000 meter rumah penduduk di negeri ini dengan pemasangan meter pintar.
TNB menerusi kenyataan medianya berkata, pengguna yang menerima notis pemasangan meter pintar digalakkan membuat temu janji awal bagi memudahkan petugas memasuki premis dan melakukan tugas penukaran meter baharu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, notis memaklumkan pemasangan meter itu dihantar melalui pos atau serahan tangan selewat-lewatnya dalam tempoh 30 hari sebelum meter pintar dipasang.
"Pengguna dinasihatkan menghubungi TNB di talian 1-300-88-5454 semasa waktu pejabat antara jam 8 pagi hinggga 5.15 petang atau mengunjungi Kedai Tenaga pada waktu operasi.
"Individu dewasa juga perlu berada di premis semasa meter berkenaan dipasang dan jika mereka tiada, temu janji akan dijadualkan semula,” katanya, hari ini.
Menurutnya, pemasangan meter pintar itu akan diperluaskan secara berperingkat ke negeri lain mulai tahun depan sehingga selesai di seluruh negara pada 2022.
Kenyataan itu menyebut langkah pemasangan meter pintar merupakan sebahagian usaha TNB memperkasa pengguna dan meningkat kepuasan pelanggan menerusi penggunaan teknologi terkini. - Bernama