HANOI - VIETNAM . Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dijadual meneruskan rundingan pusingan kedua, hari ini.
Menurut Rumah Putih, kedua-dua pemimpin akan memulakan persidangan bertempat di Hotel Sofitel Legend Metropole dengan sesi pertemuan peribadi , diikuti beberapa siri rundingan dengan wakil delegasi masing-masing.
Acara menandatangani perjanjian bersama dijangka diadakan di penghujung mesyuarat dan Trump akan mengadakan sidang media selepas itu.
Namun, intipati perjanjian bersama tersebut masih menjadi persoalan, dan ketika ditanya sama ada pengisytiharan rasmi Perang Korea akan dibuat, Trump hanya menjawab"kita akan lihat".
ARTIKEL BERKAITAN: Trump bertemu Jong-un
Terdahulu, pertemuan semalam hanya terhad kepada beberapa soalan daripada wartawan, pertemuan peribadi Trump dan Jong-un serta acara makan malam.
"Pertemuan dan makan malam yang berjalan dengan baik," tulis Trump di laman Twitter selepas menghadiri makan malam yang antara lain disertai Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan wakil kanan Jong-un, Kim Yong-chol.
Trump turut menyatakan keterujaan bertemu Jong-un yang disifatkannya pemimpin hebat, selain menegaskan pihak AS tidak akan berganjak daripada pendirian yang mahukan usaha nyahnuklear di Semenanjung Korea dilaksanakan.
Sementara itu, Jong-un menjanjikan komitmen penuh Pyongyang untuk merealisasikan kempen nyahnuklear, dan berasa amat yakin persidangan kali ini akan berjaya.
Persidangan pertama kali Trump, Jong-un di Singapura pada Jun tahun lalu, dilihat tidak mendatangkan sebarang impak besar ke arah usaha nyahnuklear. - BBC