MELAKA - Keresahan seorang ibu tunggal memikirkan kos pembedahan salur jantungnya yang berjumlah RM15,000 akhirnya menemui noktah selepas wang berkenaan berjaya dikumpul dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Noor Shamsiah Abu Hasan, 45, berkata, disebabkan masalah kewangan dia yang hanya menyara kehidupan dengan mengambil upah mengurut wanita bersalin sering bersedih dan pernah berputus asa untuk melupakan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 23 Ogos ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka pertemuan dengan seorang doktor di sebuah klinik di Flat Sri Siantan, Bukit Baru telah membuka lembaran baharu apabila individu itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Dr.Wong Fort Pin telah mewujudkan tabung dana untuk pembedahan berkenaan.
Katanya, dengan pendapatan tidak tetap lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 serta tahap kesihatannya yang semakin terjejas, sukar baginya untuk mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh singkat.
"Alhamdulillah dalam beberapa hari ada yang membantu mendapatkan dana sebanyak RM15,000 untuk membolehkan saya menjalani pembedahan tidak lama lagi.
"Sebenarnya dah merata tempat saya usahakan untuk mencari dana dan terpaksa ketepikan rasa malu namun akhirnya ALLAH permudahkan," katanya ketika ditemui semasa penyerahan cek bernilai RM15,000 di Klinik Wong di Bukit Baru pada Jumaat.
Jelasnya, walaupun tiga daripada lima anaknya telah bekerja namun dia masih mempunyai tanggungan untuk menyara dua anaknya yang bersekolah masing-masing berusia 14 dan enam tahun.
Noor Shamsiah berkata, anak-anaknya banyak memberikan semangat untuk dia lebih kuat biarpun doktor pernah mengganggarkan dia mempunyai masa sekitar tiga hingga empat bulan sahaja lagi, jika lewat menjalani pembedahan.
"Disebabkan mengalami kebocoran saluran utama jantung, saya sering keletihan dan tidak boleh banyak begerak, namun bersyukur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyalurkan bantuan bulanan untuk meringankan beban," katanya yang tidak sabar untuk menjalani pembedahan.
Sementara itu, Fort Pin yang juga bekas timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata, sikap keperihatinan orang ramai akhirnya dapat mengumpulkan dana dalam tempoh singkat sejak tabung itu dilancarkan pada Selasa lalu.
"Saya terharu dengan sikap tanpa mengira kaum untuk membantu dan kita telah menutup tabung dana terbabit selepas memperolehi jumlah yang diperlukan.
"Sikap seperti ini sewajarnya dipupuk terutama dalam keadaan kita berdepan pandemik ini dan kita perlu bantu mereka yang memerlukan tanpa mengira parti, bangsa dan agama," katanya.