KUANTAN - Seorang ahli perniagaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cincin berlian bernilai RM2.89 juta milik sebuh kedai emas di Genting Highlands yang lesap selepas ditukar dengan cincin palsu oleh seorang lelaki warga asing, 24 Februari lalu.
Suspek warga tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di Jalan Anuar, Bentong, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berasal dari Sarawak dan menetap di Kuala Lumpur itu merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki dua warga asing yang juga suspek utama kes tersebut.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek mengakui mengenali dua warga asing tersebut kerana mereka sudah beberapa kali menggunakan khidmat sewaan kenderaan mewah yang disediakan lelaki itu untuk ke Genting Highlands dari Kuala Lumpur.
"Suspek juga mengaku, Ahad lalu dia ada menghantar dua lelaki warga asing itu dari sebuah hotel di Kuala Lumpur ke Genting Highlands.
"Difahamkan dia hanya menunggu di parkir sebuah hotel hotel dan tidak mengetahui urusan dua penumpangnya itu," katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas beberapa jam, dua lelaki tersebut kembali dan minta suspek hantar mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Pada 24 Februari lalu, suspek bersama dua lelaki tersebut ke Ho Chi Minh, Vietnam menaiki penerbangan Airasia dan ketika disana mereka menginap di hotel yang sama.
"Suspek kembali ke Malaysia Selasa lalu sebelum ditahan.Susulan penahanan suspek, polis turut merampas telefon bimbitnya untuk membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, keterangan suspek tentang dua suspek utama itu agak meragukan dan tidak terperinci.
"Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek dari Mahkamah Majistret Bentong hari ini untuk siasat lanjut,"katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Cincin RM2.89 juta lesap dikebas ‘pelanggan’
ARTIKEL BERKAITAN: Suspek curi berlian RM2.89 juta lari ke Vietnam