i-Sinar, i-Citra tidak banyak beri impak kepada pelaburan KWSP

Iklan
Program i-Sinar dan i-Citra tidak banyak memberi impak kepada pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa ini.

KUALA LUMPUR - Program i-Sinar dan i-Citra, yang bertujuan untuk menyediakan pendapatan tambahan kepada ahli-ahli yang terkesan bagi memenuhi keperluan hidup mereka di tengah-tengah krisis pandemik sekarang, tidak banyak memberi impak kepada pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa ini.

Ketua Pegawai Strateginya, Nurhisham Hussein berkata, dana pencen itu mempunyai pelan dari segi menguruskan mudah tunai serta aliran tunai KWSP.

Iklan
Iklan

"Kami menangani impak terhadap aliran tunai dan pelaburan. Kami memiliki tunai yang mencukupi bagi program ini. Ia tidak banyak menjejaskan pelaburan buat masa ini.

"Jadi masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai impak ke atas dividen (daripada program tersebut) - kerana dividen akan banyak dipengaruhi oleh prestasi pasaran. Kita masih ada masa lima bulan lagi. Kami perlu memberikan komitmen kepada itu,” katanya pada taklimat media maya mengenai perkembangan i-Citra, pada Jumaat.

Iklan

Setakat ini bagi i-Sinar, Nurhisham berkata, sejumlah RM56.7 bilion telah dibayar daripada jumlah yang diluluskan sebanyak RM58.8 bilion.

Bagi program i-Citra, katanya, dengan anggaran pembayaran RM30 bilion, sejumlah RM2.3 bilion telah dikeluarkan daripada RM19 bilion amaun yang diluluskan daripada 4.57 juta permohonan.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, peruntukan aset strategik (SAA) KWSP mengambil kira krisis kewangan dan kegawatan pasaran yang akan membolehkan ia bertahan daripada sebarang kejutan atau ketidaktentuan ekonomi pada masa depan.

"Kami sedar bahawa prestasi pasaran tempatan kurang memberangsangkan ketika ini tetapi pasaran antarabangsa mencatatkan prestasi yang sangat baik. Jadi ia akan mengimbangi isu prestasi. Dari segi pengurusan kelas aset dan keseluruhan portfolio pelaburan -- kami ada perancangannya. Setakat ini ia berjalan lancar.

"SAA akan disemak semula setiap tiga tahun. Kami mempunyai peruntukan praktikal, bergantung kepada keadaan pasaran. Tetapi ia disasarkan bagi portfolio dan bukan bagi keadaan turun dan naik dalam pasaran. Kami mempunyai portfolio pelaburan yang pelbagai sejak pertengahan 2013 dan ia banyak membantu kami,” katanya. - Bernama