SHAH ALAM - MBSB Bank menyumbangkan sebanyak 3,600 peranti digital bernilai RM5 juta untuk memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, sumbangan berbentuk komputer riba, dongle dan kad SIM itu dilaksanakan menerusi program CERDIK yang merupakan inisiatif perintis dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Hasanah.
Menurutnya, ia juga program yang membantu mempercepatkan akses digital melalui penggunaan peranti mudah alih dan penyambungan data.
"Pandemik Covid-19 telah mengganggu pembelajaran pelajar secara konvensional iaitu bersemuka di dalam kelas. Mereka kini perlu menerima perubahan norma baharu ke arah pembelajaran secara digital.
"Tidak semua orang mempunyai keupayaan untuk memiliki peranti digital. Kami memahami sepenuhnya keadaan mereka kami gembira dapat membantu merapatkan jurang pembelajaran digital kepada 3,600 pelajar daripada 19 sekolah di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, CERDIK menyediakan peranti pembelajaran yang mudah dan berkualiti kerana mendapat sokongan teknikal, penyambungan dan jaminan.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada MBSB Bank atas sokongan mereka kepada CERDIK, salah satu inisiatif perintis yang paling komprehensif mengenai pembelajaran digital di sekolah awam di seluruh negara.
"Walaupun dunia berdepan dengan masalah pembekalan komputer riba yang berkualiti, CERDIK mampu menyediakan peranti kepada kumpulan pelajar bertepatan dengan masa yang ditetapkan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, MBSB Bank turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Sekolah Angkat dengan membantu sekolah membangunkan infrastruktur, akademik dan bengkel motivasi serta program makanan.
MBSB Bank juga memiliki sembilan sekolah di beberapa negeri dan setiap sekolah telah menunjukkan prestasi dalam pencapaian akademik dengan lebih baik.