TERLALU awal untuk menidakkan kemampuan sebenar skuad berbasikal trek negara diketuai jaguh keirin, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, dalam misi melakar kejayaan bersejarah di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bekas atlet berbasikal trek negara, Mohd Rizal Tisin, 37, berkata, meskipun cabaran Malaysia dalam saingan pecut berakhir lebih awal, namun ia tidak boleh menjadi kayu ukur kepada peluang Mohd Azizulhasni dan seorang lagi pelumba Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin.
Mohd Rizal yang memenangi pingat gangsa acara 1 kilometer (km) ujian masa di Kejohanan Dunia 2009 berkata, pecut dan keirin adalah dua acara berlainan yang mempunyai pendekatan taktikal berbeza.
"Tidak adil untuk nilai kemampuan mereka berdasarkan acara pecut kerana ia (pecut dan keirin) bukan macam acara dalam sukan olahraga iaitu 100 meter (m) dan 200m. Kedua-duanya acara berbeza.
"Pecut adalah 70 peratus kekuatan dan 30 peratus kemahiran taktikal, sementara bagi saya keirin 50-50. Satu lagi keirin juga bergantung kepada senarai permulaan, undian kedudukan dan posisi dalam perlumbaan,” katanya yang berada di Singapura ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Cabaran Mohd Azizulhasni yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' dan Muhammad Shah Firdaus dalam acara pecut berakhir Khamis, selepas terkandas di pusingan ketiga dan kedua-duanya akan memulakan saingan keirin di Veledrom Izu, Shizuoka, Sabtu.
Namun, berdasarkan catatan masa di bawah 10 saat (s) yang berjaya dilakukan Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus dalam acara pecut, selain keyakinan ditunjukkan dalam kayuhan mereka, Mohd Rizal optimis kedua-dua pelumba berada di landasan terbaik menjelang saingan itu.
Jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan Singapura itu berkata, antara kelebihan dimiliki kedua-dua pelumba negara itu adalah keberanian dan kebijaksanaan menghidu peluang, untuk melakukan pecutan dan beliau tidak melihat dua elemen itu terdapat pada pelumba lain.
"Kebanyakannya contoh seperti Belanda mereka mudah, mereka kuat dan mereka akan gunakan ‘gear’ berat jadi saya jangka dari mula sampai habis, mereka akan tarik perlumbaan ke depan. Tetapi saya pasti Azizulhasni dan Shah Firdaus sudah bersedia, mereka akan tunggu detik untuk ‘attack’,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Rizal berkata, status dan pengalaman luas Mohd Azizulhasni dalam acara keirin di pentas antarabangsa, termasuk memenangi gangsa di Olimpik Rio 2016 serta gelaran juara dunia diraih pada 2017, memberi lebih kelebihan kepada pelumba berusia 33 tahun itu.
"Belanda dan Great Britain memang kuat, tetapi dalam aspek pengalaman dari sudut taktikal mungkin kurang daripada Azizulhasni. Beliau antara pelumba paling berpengalaman kali ini dan pemenang pingat Olimpik edisi lepas, ini juga penampilan keempatnya, pengalaman beliau lebih dari yang lain,” jelas beliau.
Dalam pada itu, saingan keirin esok menyaksikan Mohd Azizulhasni diletakkan dalam saringan ketiga bersama Sebastien Vigier dari Perancis, Stefan Boetticher (Jerman), Patryk Rajkowski (Poland), Jean Spies (Afrika Selatan) dan pelumba Trinidad and Tobago Nicholas Paul.
Muhammad Shah Firdaus pula akan berentap dengan Matthew Richardson dari Australia, Hugo Barrette (Kanada), Jack Carlin (Great Britain), Sergey Ponomaryov (Kazakhstan) dan Matthijs Buchli dari Belanda.
Dua pelumba terbaik dalam keseluruhan lima aksi saringan akan mara secara automatik ke pusingan sukur akhir, sementara yang gagal akan bersaing dalam pusingan repechages untuk merebut baki slot pusingan suku akhir. - Bernama