SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan dakwaan tular bahawa beliau menandatangani untuk menyokong dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelas beliau, tandatangan tersebut adalah sekadar bukti kehadirannya selepas berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Pelbagai dakwaan negatif berlegar di media sosial yang mengatakan saya telah mengkhianati arahan MKT UMNO.
"Sebagai seorang ahli parti yang telah bertanding atas nama UMNO dan BN, tidak mungkin ia benar. Justeru saya ingin memaklumkan bahawa tandatangan yang tular itu adalah tandatangan kehadiran saya bagi perjumpaan tersebut.
"Itu sahaja, tidak ada surat lain diarahkan untuk kami menandatangani. Saya hadir selaku ahli Parlimen untuk mendengar perbincangan Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam satu sidang media pada Jumaat.
Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, pendirian beliau masih kekal bersama parti dan akan melaksanakan tanggungjawab apabila dipanggil untuk mengabsahkan kedudukan kerajaan.
"Harap rakyat Baling jangan keliru dengan segala dakwaan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin melaga-lagakan isu semasa ini berkaitan kehadiran saya.
"Buat masa ini, saya ingin beri tumpuan penuh kepada rakyat Baling dalam usaha menangani pandemik yang sedang berlaku sehingga Parlimen dipanggil untuk bersidang,” ujarnya.
Beliau sehubungan itu berharap semua ahli UMNO dapat bersama memberikan tumpuan kerja-kerja kebajikan dan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.