SKM serah sumbangan kepada frontliners Hospital UiTM Sungai Buloh

Iklan
Rusli (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan pek makanan kepada Ketua Pegawai Polis Bantuan Fakulti Perubatan Hospital UiTM Sungai Buloh dan Puncak Alam, ASP/PB Khairul Azman Abu Bakar.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyampaikan sumbangan pek makanan kepada petugas barisan hadapan Fakulti Perubatan, Hospital UiTM Sungai Buloh, Selangor sempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2021.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat khususnya ketika pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Penghargaan itu disampaikan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SKM yang berlangsung di Fakulti Perubatan Hospital UiTM, Sungai Buloh di sini.

Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawalselia) SKM, Rusli Jaafar berkata, sumbangan tersebut diharapkan dapat menyuntik semangat jururawat dan petugas barisan hadapan agar kekal komited dan sentiasa bersedia memberi perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada masyarakat.

Iklan

Katanya, selain berkhidmat di Hospital UiTM Sungai Buloh, jururawat juga ditugaskan di beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Lembah Klang bagi membantu usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok secepat mungkin.

"Jururawat dari Hospital UiTM Sungai Buloh juga terbabit dalam pemberian perkhidmatan di beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin di sekitar Lembah Klang bermula bulan Mac lalu bagi menjayakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden Kebangsaan, Pertubuhan Kajian Pembangunan Malaysia (MRDO) merangkap koordinator program, Prof Datuk Dr Mohd Harun Nizam.

SKM dan Hospital UiTM Sungai Buloh berharap program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kerjasama dan prihatin masyarakat.