IMPIAN atlet Kanada, Damian Warner sejak kecil untuk bertanding pada Sukan Olimpik seterusnya meraih pingat emas akhirnya tercapai di bumi Tokyo.
Beraksi dalam acara decathlon membabitkan 10 disiplin, Warner, 31, mencipta rekod Sukan Olimpik apabila mengumpul 9,018 mata untuk meraih emas diikuti pemegang rekod dunia dari Perancis, Kevin Mayer (8,726 mata) dan wakil Australia, Ashley Moloney (8,649 mata).
"Situasi ini sememangnya cukup gila. Apatah lagi sejak kecil, saya duduk menyaksikan acara trek dan padang serta Sukan Olimpik Musim Sejuk bersama ibu saya.
"Apabila berada di Gred 6, saya menulis dalam projek sekolah menyatakan impian mahu bertanding di Olimpik dan kini siapa sangka yang impian tersebut kini menjadi kenyataan apabila saya meraih pingat emas Sukan Olimpik.
"Saya masih terasa degupan kemenangan pada bahagian kaki dan paru-paru. Ia seperti seiring dengan perjalanan masa saya sepanjang bersaing pada Sukan Olimpik di Tokyo ini. Bagi saya, momen ini sungguh luar biasa,” katanya.
Dalam penampilannya pada edisi Rio 2016, Warner meraih pingat gangsa selain perak Kejuaraan Dunia 2015 serta gangsa Kejuaraan Dunia 2013 dan 2019.
Pada aksi di Stadium Olimpik itu, Warner menjadikan semangat Rio 2016 sebagai motivasi mempamerkan aksi konsisten selama dua hari acara decathlon berlangsung untuk meraih emas.
"Saya cukup yakin dengan diri sendiri di Tokyo 2020, apatah lagi Rio 2016 ketika menduduki tempat ketiga walaupun gembira di podium, sejujurnya saya kecewa kerana tidak berada di tempat lebih tinggi.
"Pengalaman di Rio telah membentuk saya menjadi lebih baik seperti yang dibuktikan sepanjang dua hari pertandingan. Saya bangga dan gembira dengan diri sendiri, pasukan dan semua orang yang menyokong saya selama ini,” katanya.