SINGAPURA - Bermula 10 Ogos ini Singapura akan menyambung semula proses kelulusan masuk kepada pemegang pas kerja dan tanggungan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara serta wilayah berisiko tinggi kerana republik itu sudah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.
Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai Covid-19, pemegang pas kerja yang layak dan tanggungannya mestilah sudah lengkap divaksin sebelum tiba di Singapura.
Seseorang itu hanya dianggap lengkap divaksin selepas dua minggu menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty), Moderna atau yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pada Mei, Singapura mengumumkan tidak menerima permohonan kemasukan baharu bagi pemegang pas kerja dari negara dan wilayah berisiko tinggi, kerana peningkatan kes Covid-19 di beberapa negara dunia.
Pada sidang media maya hari ini, Pengerusi Bersama MTF Lawrence Wong menjelaskan, pemohon bagaimanapun perlu mematuhi protokol kesihatan ditetapkan Singapura.
"Oleh kerana kita telah mencapai tahap liputan vaksin yang lebih tinggi, kita akan mula menyesuaikan peraturan sempadan dan akan menyambung semula proses kelulusan masuk untuk pemegang pas kerja yang lengkap divaksin dan bergantung kepada syarat SHN (Notis Tinggal di Rumah) yang ada," katanya.
Setakat 5 Ogos, 67 peratus rakyat Singapura telah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan dan MTF menjangkakan menjelang 9 Ogos, sekitar 70 peratus daripada keseluruhan penduduk akan lengkap dua dos.
Wong yang juga Menteri Kewangan memberitahu, mulai 20 Ogos, Singapura akan membenarkan lebih ramai pengembara yang lengkap divaksin dari beberapa negara tertentu untuk memilih sama ada dikuarantin 14 hari di kemudahan khas SHN atau di rumah dan penginapan lain yang sesuai.
"Bermula 20 Ogos, kami akan kenal pasti mengikut kumpulan negara yang mempunyai kadar risiko yang kita anggap boleh diterima dan pelancong yang sudah lengkap divaksin akan diberikan kebenaran pilihan kuarantin untuk keluar dari SHN dan menjalani kurantin di rumah dan senarai penuh kumpulan negara itu akan dikeluarkan (tidak lama lagi),” katanya.
Sebagai contoh, bermula 21 Ogos, semua pelancong dari Australia, Austria, Kanada, Jerman, Itali, Norway, Korea Selatan dan Switzerland, boleh memohon keluar dari SHN dan melengkapkan kuarantin mereka di kediaman masing-masing atau rumah lain yang sesuai.
MTF juga melaksanakan semakan bertahap pada Fasa 2 (Amaran Tahap Tinggi) ini dan akan melonggarkan sesetengah sekatan dalam dua peringkat, yang pertama bermula 10 Ogos dan diikuti pada 19 Ogos andai keadaan kekal stabil.
Antara lain, ia akan membenarkan lebih ramai orang hadir dalam acara atau majlis serta kehadiran di rumah ibadat, panggung wayang, majlis rasmi, acara hiburan dan sukan serta majlis perkahwinan untuk sehingga 1,000 orang, andai semua yang hadir sudah divaksin, bermula 19 Ogos.
MTF juga akan turut melongarkan syarat kerja dari rumah, terutama langkah membenarkan sehingga 50 peratus jumlah tenaga kerja, kembali bertugas di pejabat. -Bernama