Kes jangkitan kanak-kanak meningkat, Thailand tubuh pusat jagaan

Iklan
Foto 123RF

BANGKOK - Jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di Thailand turut mencatatkan peningkatan, ketika negara ini terus bergelut membendung penularan wabak.

Ketua Pengarah Jabatan Kanak-Kanak dan Belia Supacha Suthipol berkata, sejak Januari tahun ini, lebih 65,000 kanak-kanak telah dijangkiti Covid-19.

Iklan
Iklan

"Sebuah pusat jagaan untuk kanak-kanak dijangkiti Covid-19 telah ditubuhkan bagi menawarkan bantuan terutama kepada mereka yang tidak memiliki akses kepada penjagaan kesihatan, serta kehilangan ibu atau bapa atau yatim piatu," ujarnya lapor Thai PBS.

Tambah beliau, bagi mereka yang tidak mempunyai saudara mara atau tidak dapat pulang ke rumah, kanak-kanak ini akan ditempatkan di empat rumah kebajikan negeri.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja di Institut Rajanagarindra Dr Dutsadee Juengsiragulwit berkata, virus Covid-19 ini telah mengakibatkan kira-kira 5,000 kanak-kanak sama ada kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali.

"Oleh itu, Jabatan Kesihatan Mental akan membantu, dengan menilai kesihatan mental mereka dan menghantar petugas perubatan dan sukarelawan untuk memberikan rawatan awal," katanya.

Iklan

Dalam tempoh 24 jam lalu, kes dan kematian Covid-19 di Thailand mencatat rekod tertinggi dengan 21,379 kes baharu dan 191 kematian.

Setakat ini, Thailand mencatat 714,684 kes dan 5,854 kematian sejak virus itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan kes baharu itu termasuk 484 banduan dan 10 kes import.

Menurutnya, kematian pula melibatkan 115 lelaki dan 76 wanita berusia antara 21 hingga 104 tahun termasuk empat warga asing.

"Kira-kira 64 peratus kematian melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Dua kematian dilaporkan di rumah, ” menurut CCSA.

Bangkok kekal mengumpul kes jangkitan baharu tertinggi sebanyak 4,700 dan 100 kematian dalam tempoh 24 jam. -Bernama