JAGUH lumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang mampu menghadiahkan kilauan pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu.
Pengurus pasukan, Datuk Ashakari Abu Noor percaya Azizulhasni dan rakan sepelatihnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mempunyai pelan tersendiri bagi merealisasikan misi meraih emas sulung Olimpik.
"Saya percaya seluruh rakyat Malaysia menjerit melihat Azizulhasni dan Shah Firdaus beraksi di Velodrom Izu ketika mereka beraksi dalam acara pecut sejak dua hari lalu.
"Saya juga yakin rakyat Malaysia tidak putus berdoa agar Azizulhasni dan Shah Firdaus berjaya membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik di Tokyo nanti.
"Paling penting, mereka dapat ikut taktikal jurulatih, John Beasley. Jika semuanya ikut perancangan, insya-ALLAH tak mustahil emas mampu dibawa pulang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Ashakari percaya acara keirin merupakan platform buat Azizulhasni dan Shah Firdaus memperagakan kekuatan sebenar mereka selepas masing-masing terkandas di pusingan ketiga acara pecut pada Khamis.
"Sejak awal, kita memang tekan dan fokus kepada acara keirin. Namun, mereka tetap beraksi dengan baik dalam acara pecut. Shah Firdaus sekalipun tampil kali pertama, tapi mampu mara sehingga pusingan ketiga.
"Pencapaian ini sangat membanggakan. Bukan mudah untuk melakar kejayaan seumpama itu pada Sukan Olimpik. Saya berharap dia mampu membuktikan sesuatu dalam acara keirin nanti.
"Seperti yang saya sering katakan sebelum ini, acara keirin memerlukan strategi yang betul. Jadi saya harap Shah Firdaus dan Azizulhasni sudah mendapat bayangan awal selepas mereka beraksi dalam acara pecut sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan persatuan sangat yakin dengan kebolehan Azizulhasni dan Shah Firdaus.
"Azizulhasni telah berlumba pada banyak kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Saya percaya dia boleh memberi sedikit petua kepada Mohd Shah Firdaus nanti.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar kilauan emas Sukan Olimpik akan mampu dibawa pulang ke Kuala Lumpur nanti,” katanya.
Azizulhasni yang tampil kali keempat di pentas Olimpik selepas edisi Beijing 2008, Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016 melakar sejarah apabila membawa pulang pingat gangsa menerusi acara keirin di Rio.