KUALA KRAI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menyelamatkan seekor tapir jantan seberat 200 kilogram (kg) yang terjatuh ke dalam lubang di kawasan kebun getah dekat Kesedar Baru, Chenulang di sini, pada Jumaat.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung perkara itu pada jam 10.30 pagi.
Iklan
Iklan
"Bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan anggota Perhilitan Kuala Krai ke lokasi kejadian dan mendapati seekor tapir jantan terjatuh ke dalam lubang di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurutnya, bagaimanapun hidupan liar itu tidak cedera dan sebelum operasi menyelamat dilakukan pihaknya terlebih dahulu memberinya makan dan minum.
Ady Ermanty Haniff berkata, selain Perhilitan Kuala Krai operasi itu turut disertai oleh anggota dari ibu pejabat negeri dan Gua Musang.
"Operasi menyelamat tamat pada jam 8.30 malam dan tapir berkenaan dibawa ke Taman Negara Pahang (Sungai Relau) untuk dilepaskan semula ke habitat asalnya,"katanya.