SHAH ALAM - Kondisi kesihatan dan paras bacaan oksigen penyanyi terkenal Siti Sarah Raisuddin meningkat pagi ini sekali gus menunjukkan perkembangan positif.
Perkara itu dimaklumkan oleh suaminya, Shuib Sepahtu melalui perkongsian Instagram Stories (IG Story) miliknya.
"Setakat pagi ini, Sarah masih belum sedar... Masih perlukan bantuan alat pernafasan.
"Alhamdulillah ada peningkatan. Jam 11 malam tadi, oksigen jatuh hingga paras 40 peratus tetapi pada jam 2 pagi, naik 77 peratus.
"Sebentar tadi, doktor maklumkan paras oksigen Sarah meningkat 80 peratus," katanya
Pelawak terkenal ini juga memaklumkan bayi lelakinya bernama Ayyas Affan merupakan bayi pramatang juga dalam keadaan stabil.
"Alhamdulillah sedikit update untuk Ayash Affan (bayi baru lahir pramatang 7 bulan). Dr Faiz HUKM beritahu, alhamdulillah pagi ini dia dah menendang, tangan bergerak aktif dan keadaan bayi stabil.
"Ya ALLAH syukur, ini juga berkat doa kamu semua yang tak henti-henti mendoakan kesihatan Ayash. Saya balikkan doa-doa kalian, semoga kamu semua juga dipermudaknan segala urusan, diberi kesihatan yang baik, terhindar dari segala kemudaratan, insya-ALLAH Amin," ujarnya.
Shuib atau nama sebenar, Shahmira Mohamad turut melahirkan rasa bersyukur apabila isteri dan anak menunjukkan perkembangan positif.
Siti Sarah yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dimasukkan ke hospital, Rabu lalu, berikutan tahap oksigen yang tidak stabil.
Pada jam 5 petang semalam, penyanyi lagu Kesetiaan ini selamat melahirkan bayi lelaki melalui pembedahan.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.
Selain Siti Sarah, suami bersama tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif namun selepas kuarantin 14 hari, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif.