MACHANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membina 11 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara sehingga Ogos tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah tersebut meliputi lebih daripada 4,000 unit untuk diisi penduduk yang layak mendiami rumah berkenaan.
Menurut beliau, 11 projek tersebut melibatkan dua pembinaan di Langkawi, Kelantan (tiga), Pahang (empat) dan dua di Johor Bahru.
"Kesemua pengurusan kemasukan rumah berkenaan diserahkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan pemilihan pengisian pula diuruskan oleh kerajaan negeri serta ditapis oleh SPNB.
"Kita juga akan memastikan mereka yang layak adalah mereka yang memenuhi syarat ditetapkan antaranya ialah ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau hadir meninjau PPR Bukit Belah, Machang dalam lawatan kerjanya melibatkan tiga PPR di negeri ini iaitu PPR Gual Ipoh, Tanah Merah dan PPR Pasir Mas.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, kerajaan juga menetapkan polisi baharu di mana PPR yang sudah siap dibina perlu diduduki dalam tempoh enam bulan kerana tidak mahu kemudahan tersebut rosak termasuklah berdepan risiko vandalisme.
Beliau berkata, SPNB akan mengambil alih tugas dan peranan kerajaan untuk melaksanakan pengurusan kemasukan, penyelenggaraan bagi memastikan rumah-rumah yang dibina dapat diduduki dalam tempoh yang ditetapkan.
"Kita nasihatkan kepada penyewa dan pembeli untuk menjaga serta menghargai rumah mereka sebaik mungkin kerana kerajaan telah memperuntukkan subsidi RM140,000 untuk setiap rumah yang disediakan.
"Sudah sampai masanya KPKT mengharapkan penghargaan daripada penghuni semua untuk memastikan ia akan bertahan dalam jangka masa panjang," katanya.
Tambah Zuraida, KPKT juga akan minta SPNB memantau setiap aktiviti melibatkan rumah berkenaan bagi mengelak daripada ia diberi sewa mahupun dijadikan rumah inap.
"Sebelum ini, kerajaan menerima laporan mengenai PPR yang diberi sewa kepada orang lain, malah lebih teruk lagi diberikan sewa kepada orang asing," katanya.
Katanya, pemantauan berterusan tersebut akan dijalankan dari masa ke masa dan turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.