Agong perkenan sampaikan titah sempena Maal Hijrah secara hibrid

Iklan
Al-Sultan Abdullah

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan menyampaikan titah perutusan khas secara hibrid sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2021/1443 Hijrah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, sambutan tahun ini akan diadakan secara hibrid bermula 6 petang di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Isnin ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hadir sama bagi menyemarakkan majlis sambutan yang telah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Ogos lepas.

"Majlis ini diadakan secara sederhana namun penuh bermakna dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan kehadiran yang minimum.

Iklan

"Penganjuran majlis ini dilihat penting dalam suasana negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, bertujuan mengajak masyarakat bersama-sama berdoa memohon perlindungan daripada bahaya wabak khususnya, serta sentiasa bersabar dan berpegang teguh pada agama walau dalam apa jua keadaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Abdul Aziz berkata, tema sambutan tahun ini ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ adalah signifikan kepada ummah di negara ini.

Iklan

"Tema ini bagaikan suatu motivasi kepada ummah untuk meletakkan nilai 'Rabbani' iaitu menjadikan Allah SWT segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi getir dan sukar," katanya.

Sempena sambutan itu juga, majlis penganugerahan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan akan diadakan dan disempurnakan oleh Perdana Menteri kepada seorang tokoh dalam negara dan seorang tokoh dari luar negara yang banyak jasa dan sumbangan kepada ummah.

Seluruh masyarakat dijemput mengikuti sambutan itu secara langsung menerusi saluran TV1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta media sosial rasmi Jakim.

Selain itu, radio Nasional FM, Radio IKIM, Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Bahasa Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli) turut membuat lintas langsung sambutan itu. - Bernama