PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Sabtu menyumbang sebanyak 130 bakul makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Seroja, di sini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, selain bakul makanan, sebanyak 260 paket ikan segar beku QFISH disumbangkan oleh agensi di bawah MAFI iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Menurutnya, sumbangan yang diberikan itu di bawah Program MAFI Prihatin.
"Aktiviti seumpama ini merupakan aktiviti berterusan di MAFI dalam memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan dan juga keseluruhan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di PPV Dewan Seri Seroja.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha MAFI (Pembangunan), Datuk Badrul Hisham Mohd dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Sallih.
Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, sumbangan bakul makanan dan ikan segar beku itu dianggarkan berjumlah RM10,000.
"Diharap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ekonomi dan memberi kemudahan kepada petugas barisan hadapan untuk mendapatkan bekalan makanan dan sumber protein yang secukupnya,” katanya.
Beliau menambah, sumbangan seumpamanya turut diberikan di seluruh negara.