SHAH ALAM - Polis membuka kertas inkuiri polis terhadap laporan yang diterima berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pihak mencetus kemelut politik ketika ini tidak senang dengan tindakannya enggan mencampuri urusan mahkamah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan akan dijalankan berhubung laporan yang diterima.
Iklan
Iklan
"Setakat ini, 10 laporan polis diterima berkaitan kenyataan tersebut dan tiada lagi mana-mana pihak atau saksi yang dipanggil.
"Polis akan maklumkan kemudian berkaitan seksyen apa berkaitan laporan yang dibuat itu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Rabu, Muhyiddin berkata, terdapat pihak yang kurang senang tindakan beliau yang tidak melayani beberapa tuntutan mereka.
"Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.
"Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah," katanya.